Categories
PBT SELANGOR

MPSJ terus santuni keluarga kurang bernasib baik

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 20 JUN: Jelajah Kasih Ramadan dan Singgah Sahur MPSJ, baru-baru ini mengunjungi 30 keluarga kurang bernasib baik di Puchong dan Seri Kembangan bagi menghulurkan bantuan.

Timbalan Pengarah Korporat, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Azfarizal Abdul Rashid berkata, program kali ini disertai 60 peserta konvoi bagi mengagihkan kelengkapan barangan keperluan asas seperti beras dan minyak serta juadah sahur.

Katanya, juadah sahur turut diedar kepada agensi keselamatan bertugas di beberapa lokasi sepanjang perjalanan konvoi.

“Program ini bertujuan membantu mereka yang kurang berkemampuan sempena menyambut Ramadan dan Syawal.

Jelajah sahur“MPSJ juga komited merapatkan jaringan perhubungan melalui kolaborasi bersama badan korporat lain,” katanya dalam kenyataan.

Azfarizal berkata, program berkenaan merupakan siri program pembangunan belia bermotosikal MPSJ yang disusun sejak 2007.

“Kini ianya berkembang seiring dengan pelan perancangan strategik MPSJ 2012-2030 merangkumi Pelan Tindakan Pembangunan Masyarakat Madani.

“Semoga ia dapat diteruskan pada masa akan datang dan diharap sumbangan ini menjadi lebih bermakna kepada mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.

Pada 18 Jun lalu, seawal jam 2.30 pagi, pasukan konvoi mula berkumpul di Masjid Al-Falah, USJ 9 sebelum bergerak ke dua lokasi utama di Puchong dan Seri Kembangan.

Selain Masjid Al-falah, program turut mendapat kerjasama AEON Big (M) Sdn Bhd, Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Penggerak Belia Tempatan dan Dorsett Grand Subang Hotel.

=EZY=