Categories
SELANGOR

Quran Hour pupuk ‘tadabbur’ imarah kehidupan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 JUN: Sambutan menggalakkan terhadap inisiatif Malaysia Quran Hour disifatkan sebagai perkembangan positif kesedaran masyarakat terhadap kepentingan tadabbur al-Quran.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kesedaran itu diharap mampu menjadi landasan terbaik bagi mengimarahkan al-Quran sebagai panduan hidup.

“Penganjurannya ketika Ramadan merupakan penghormatan untuk kita semua bersama-sama warga istimewa yang Allah berikan kelebihan dan mampu mengalunkan ayat suci al-Quran dengan lancar dan merdu.

BRAILLE (1)“Sesungguhanya keseluruhan al-Quran itu merupakan kalam Allah, jika kita ingin berkomunikasi dengan Pencipta kita, maka al-Quran itulah penghubung kita, selain daripada solat dan doa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Quran Hour di Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam, di sini semalam.

Dalam perkembangan itu, Malaysia Quran Hour mengangkat tema kemaafan dan belas ihsan, tahun ini sejak ia mula dianjurkan pada 2015 lalu.

BRAILLE (4)Program Malaysia Quran Hour dulunya dikenali sebagai Malaysia Ngaji dianjurkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Kumpulan Media Karangkraft, dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Tahun lalu seramai 739,645 peserta dari seluruh negara menyertai program itu yang mana Selangor sahaja melibatkan 6,495 perserta.

Sebagaimana tahun sebelumnya, penganjuran program turut diadakan serentak di seluruh negara.