Categories
SELANGOR

Noh cari publisiti murahan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 JUN: Dakwaan Tan Sri Noh Omar kononnya Kerajaan Negeri mengabaikan pangsapuri di DUN Chempaka adalah tidak berasas, tegas Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Selangor, Dato’ Iskandar Abdul Samad.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka berkata, tindakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu dilihat sekadar bertujuan mencari publisiti murahan.

Katanya, sejumlah RM2.7 juta diperuntuk kepada sembilan pangsapuri di bawah Skim Baikpulih Negeri Berkebajikan (CERIA) dan RM792,000 melalui skim baik pulih jalan diperuntukkan kepada tiga pangsapuri kos rendah.

“Sebanyak 90 peratus dari kerja baik pulih skim CERIA sudah siap dan dapat dinikmati penduduk,” katanya dalam kenyataan.

ceria-iskandar-selayang-01Iskandar berkata, sejumlah RM1.1 juta turut diperuntuk bagi membaiki empat unit lif di dua pangsapuri menerusi Program Smart Life.

“Ia termasuk Pangsapuri Kos Rendah Pandan Utama yang dilawati oleh Menteri baru-baru ini.

“Tetapi memandangkan Kerajaan Persekutuan akan membaik pulih lif di situ, maka pangsapuri lain akan dipilih untuk menggantikan Pangsapuri Kos Rendah Pandan Utama,” katanya.

Iskandar berkata, Kerajaan Negeri bukan seperti Kerajaan Persekutuan yang tiba-tiba muncul dan menawarkan bantuan apabila pilihan raya hampir tiba.

“Kami yakin rakyat akan menolak sandiwara politik murahan ini.

“Kerajaan Negeri tiada masalah jika Kerajaan Persekutuan benar-benar hendak memberikan peruntukan untuk membaik pulih pangsapuri kos rendah di Selangor.

“Lagipun negeri ini menyumbang 22.6 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), maka adalah satu kewajipan bagi Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan,” katanya.

Semalam, Noh turut melawat pangsapuri di DUN Chempaka dan mendakwa ia berada dalam keadaan terabai.