Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Rumah Terbuka: MB sambut rakyat, bersama ‘Membingkai Muafakat’

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 27 JUN: Masyarakat di Selangor dijemput menghadiri Rumah Terbuka Eidulfitri peringat negeri di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah yang akan disempurnakan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada 11 pagi, 2 Julai ini.

Sebanyak 34 gerai makanan dengan pelbagai juadah menarik antaranya kuih tempatan, pelbagai juadah nasi, pelbagai jenis mee dan juadah yang sinonim dengan hari raya menanti kehadiran pengunjung.

“Kita jumpa untuk beraya pada 2 Julai jam 10 pagi di Padang MPAJ, Pandan Indah.

AZMIN RAYA“Jemput semua keluarga dan sanak saudara. Membingkai Muafakat,” tulis Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di laman twitternya.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) selaku tuan rumah tahun ini mengambil ketetapan menyediakan kemudahan 100 bas untuk membawa penumpang dari semua daerah ke lokasi rumah terbuka.

Perkhidmatan Bas Smart Selangor dari stesen aliran transit ringan (LRT) turut disediakan.

Bagi kemudahan pengunjung yang hadir dengan kenderaan sendiri, MPAJ turut bekerjasama dengan pengurusan pasaraya, pusat membeli belah dan pemilik parkir bertingkat bagi menyediakan petak parkir.

Lebih 50,000 pengunjung dijangka menyertai acara tahunan itu.