Categories
SELANGOR

Selgate: Skim Peduli Sihat popular, penyertaan meningkat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 27 JUN: Skim Peduli Sihat semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Selangor apabila jumlah penyertaannya terus meningkat hasil gerak kerja proaktif di serata Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Selgate, Noor Hisyam Ghouth, peningkatan pendaftaran ahli baru yang direkodkan setiap bulan itu merupakan hasil gerak kerja bersepadu Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan beberapa NGO tempatan.

“Alhamdulillah program ini terus mendapat sambutan menggalakkan. Kita sudah melakukan lebih 30 jelajah di seluruh Selangor bersama UPEN dan beberapa NGO.

PEDULI SIHAT“Walaupun kita hanya sebagai vendor namun tugasan seperti pengiklanan dan promosi menerusi media massa juga kita lakukan,” katanya.

Selaku vendor Skim Peduli Sihat, Kumpulan Selgate percaya hasrat Kerajaan Negeri yang mensasarkan satu juta rakyat Selangor bakal mendapat manfaat daripada skim perlindungan kesihatan asas ini mampu direalisasikan pada penghujung 2017.

Jumlah itu dianggarkan daripada 250,000 keluarga dalam kumpulan B40 yang terdiri daripada empat orang ahli keluarga dengan pendapatan antara RM1,500 hingga RM3,000 sebulan.