Categories
PBT SELANGOR

MBPJ sangkal dokumen meragukan, serah penyata sama seperti fasa pertama

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 28 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyangkal dakwaan kastam kononnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu mengeluarkan penyata dokumen meragukan bagi tuntutan pembayaran fasa kedua Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Dato’ Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, pihaknya sudah memberikan penyata dokumen sama seperti fasa pertama tuntutan perkhidmatan GST sebanyak RM3 juta yang sudah diterima, tahun lalu.

“Ia amat pelik kerana kami menggunakan dokumen sama bagi tuntutan kali pertama dan pembayaran juga sudah diterima menggunakan dokumen itu.

“Tetapi kenapa kastam mendakwa dokumen yang dihantar untuk pembayaran kali kedua ini meragukan? Ia sesuatu yang amat mengelirukan,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat MBPJ, petang ini.

Terdahulu, kastam mendakwa kegagalan pembayaran tuntutan kutipan GST susulan tindakan 12 PBT Selangor yang menghantar penyata cukai meragukan.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, ia membabitkan jumlah keseluruhan RM36 juta yang didapati tidak berasas dan menyalahi peruntukan undang-undang GST.

azizi-mbpjBagaimanapun, Mohd Azizi menegaskan, perbincangan lanjut berhubung isu berkenaan sewajarnya diperjelaskan secara menyeluruh supaya tidak timbul sebarang spekulasi negatif berhubung isu itu.

“Jika ada sebarang kesilapan, Kastam perlu merujuk kepada MBPJ dan kami sedia bekerjasama untuk lanjutan sebarang dokumen susulan.

“Namun, isunya adalah kami memang menggunakan dokumen sama untuk tuntutan kali ini dan sewajarnya isu kelewatan tidak perlu menjadi menjadi alasan pihak Kastam,” katanya.

Difahamkan, baki tunggakan jumlah keseluruhan membabitkan tuntutan MBPJ daripada Kastam sebanyak RM3.24 juta.

Sementara itu, tuntutan PBT Selangor lain termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam (RM5.99 juta), Majlis Perbandaran Klang (RM5.6 juta), Majlis Bandaraya Kajang (RM5.1 juta), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (RM5 juta), Majlis Perbandaran Selayang (RM4.1 juta) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (RM2.7 juta).

Selain itu, Majlis Perbandaran Sepang (RM2.1 juta), Majlis Daerah Kuala Langat (RM688,457), Majlis Daerah Hulu Selangor (RM725,319), Majlis Daerah Sabak Bernam (RM447,181) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (RM198,040).

Berdasarkan Seksyen 64, Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (2014), Akta 762, cukai GST tidak dikenakan ke atas apa-apa pembekalan barang atau perkhidmatan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri melainkan jika diarahkan selainnya Menteri menerusi perintah disiarkan warta.