Categories
SELANGOR

Central Spectrum sedia pelan jangka panjang

OLEH LIZAWATI MADFA

KLANG, 4 JULAI: Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB) sudah bersedia dengan pelan jangka panjang bagi menjamin keuntungan syarikat berterusan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmud Abbas berkata, antara pelan berkenaan termasuk menyediakan perkhidmatan sewaan gudang, bangunan komersial dan lain-lain bagi menjana pendapatan.

Katanya, pelan berkenaan bagaimanapun memerlukan rizab mencukupi untuk dijayakan.

“Suatu masa nanti mungkin kita tiada lagi hartanah industri untuk dijual sementara wang yang ada semestinya bertambah surut.

“Jadi, kita bersedia dengan pelan jangka panjang dan yakin ia mampu dijayakan dengan sokongan Kerajaan Negeri dan komitmen semua,” katanya kepada Selangor Kini.

Sebelum ini, CSSB giat mempromosi Pulau Indah Industrial Park (PIIP) yang berkonsepkan ‘Managed Industrial Park’, ‘Gated dan Guarded’, berkonsepkan hijau serta lengkap dengan laluan berbasikal sepanjang 20 kilometer.

PIIP meliputi keluasan 3,500 ekar dan dijangka menjana nilai pelaburan RM15 bilion dalam tempoh 20 tahun.

Fasa 3 sedang dibangunkan meliputi 800 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.2 bilion.

=EZY=