Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Peluang sumbang idea majukan Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 JULAI: Pemerbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorporated-MBI) membuka peluang kepada graduan universiti tempatan untuk menyumbang idea bagi memajukan negeri melalui Program Internship MBI 2017.

Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin berkata, inisiatif itu dilaksanakan membabitkan usahasama pemerbadanan itu dan anak syarikat Kerajaan Negeri lain.

“MBI mensasarkan 30 pelajar pelbagai bidang yang terdiri daripada perakaunan, IT, undang-undang dan teknikal.

“Pelajar yang akan diserap berpeluang menyumbang usaha, idea dan tenaga kepada program yang direncanakan.

image2“Aktiviti yang akan dijalankan secara keseluruhannya bertujuan memacu kemajuan sosioekonomi, CSR dan kemakmuran negeri,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, MBI mengambil pendekatan modul yang digunakan korporasi besar dunia yang melaksanakan program yang bersistematik.

Katanya, antara modul untuk melatih dan memberi pendedahan termasuk kemahiran daya kepimpinan, ilmu pendedahan alam pekerjaan, etika bekerja dan bidang lain itu juga diadaptasi daripada program perantis syarikat terkemuka dunia.

“Program ini dikhususkan kepada mahasiswa bidang kritikal yang bakal melahirkan golongan professional berdaya saing.

“Manakala daripada segi korporat pula, tanggungjawab ini diagih bagi memenuhi tujuan asal anak syarikat negeri yang diamanahkan menjana pulangan komersial dan menyediakan peluang pekerjaan serta perniagaan untuk manfaat rakyat Selangor,” katanya.