Categories
EKONOMI

IPI meningkat 4.6% pada Mei 2017

KUALA LUMPUR 12 JULAI: Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPI) meningkat 4.6 peratus pada Mei 2017 berbanding bulan sama 2016, disokong pertumbuhan kukuh dalam sektor pembuatan dan elektrik.

Indeks pembuatan dan elektrik masing-masing menokok 7.3 peratus dan 2.5 peratus dalam bulan dikaji, demikian menurut Jabatan Statistik dalam satu kenyataan hari ini.

Pada asas bulan-ke-bulan, pengeluaran sektor pembuatan terus mencatat pertumbuhan ketara pada Mei selepas berkembang 6.7 peratus pada April, yang mana peningkatan dicatatkan dalam sektor kecil utama, khususnya produk elektrikal dan elektronik (11.6 peratus), makanan, minuman dan tembakau (12.9 peratus), dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (3.1 peratus).

Pengeluaran sektor perlombongan susut 2.3 peratus, menyusuli penguncupan 2.0 peratus pada April disebabkan indeks minyak mentah yang lebih rendah pada 5.4 peratus, sungguhpun indeks gas asli menokok 1.5 peratus.

Sementara itu, sektor elektrik mengukuh sebanyak 2.5 peratus pada Mei selepas susut 1.5 peratus dalam bulan sebelumnya.

SUMBER: BERNAMA