Categories
PENDAPAT RENCANA

Lindungi hutan imbangi ekosistem alam semulajadi

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 19 MAC: “Bumi yang tiada rimba, seumpama hamba, Dia dicemar manusia, yang jahil ketawa….”

Lirik lagu ‘Hijau’ nyanyian Zainal Abidin Mohamad ini terngiang-ngiang di fikiran penulis tatkala kaki melangkah ke Denai Salleh, Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) sambil menikmati keindahan kehijauan sekeliling.

Denai Salleh ini mengambil nama Ketua Pengarah FRIM yang pertama, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor yang menyandang jawatan tersebut dari 1985 hingga 1995. Terdapat spesies pokok yang ditanam seawal tahun 1925 di Denai ini seperti pokok kapur, keladan, gaharu, merbau dan rotan.

Kunjungan ke FRIM pada pagi Rabu itu membuatkan penulis terkesima dengan persekitaran kawasan hutan yang terpelihara rapi setelah sekian lama ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020.

“Sebelum PKP, daun kering akan terkumpul di tepi lorong dan dahan kecil pokok memang tidak akan kelihatan sepanjang lorong pejalan kaki,” kata jurupandu FRIM, Edi Hermi Muhammad Ramli, ketika penulis asyik meneliti laluan jejak Denai Salleh yang dipenuhi hamparan daun kering.

Ketua Pengarah FRIM, Dr Khali Aziz Hamzah yang turut serta dalam sesi trekking itu bersama kami turut bersetuju dengan kenyataan tersebut, sambil memperkenalkan kepada penuilis spesies pokok hutan hujan yang ada di sekitar Denai Salleh itu.

Dr Khali Aziz Hamzah (kiri) menunjukkan pokok yang terdapat di FRIM ketika ditemui baru-baru ini sempena Hari Hutan Antarabangsa 2021. Foto: BERNAMA

“Hikmah PKP, hutan simpan dan penyelidikan jarang dikunjungi orang ramai menyebabkan ia dapat ‘berehat’ seketika, sekali gus menarik kunjungan hidupan liar dan pelbagai jenis burung yang mampu mengekalkan ekosistem,” katanya kepada Bernama.

Menariknya, sepanjang kira-kira 20 minit perjalanan, kami disajikan dengan fenomena crown shyness yang terhasil daripada silara (rimbunan daun pada atas pokok) pokok kapur (Dryobalanops aromatica) yang tidak bersentuhan antara satu sama lain, seakan-akan mengamalkan penjarakan sosial.

Menurut Edi Hermi, pemandangan seperti teka-teki jigsaw di langit ini merupakan salah satu tarikan yang paling terkenal dalam FRIM dan menarik perhatian Saluran Televisyen Amerika, National Geographic (NatGeo) untuk mengabdikannya di dalam portal berkenaan.

“Pokok kapur mempunyai batang berbentuk silinder yang lurus dan boleh mencapai ketinggian sehingga 60 meter yang disokong dari bawah oleh banir yang kadangkala mencapai beberapa meter tinggi,” jelasnya.

Permit rentas hutan

Biarpun ketika itu jarum jam sudah menunjukkan jam 12 tengah hari, kami tidak berasa bahang terik matahari kerana terdapat ratusan pohon besar memayungi sebahagian hutan.

Bagi yang tidak biasa merentas atau mendaki hutan, denai hutan ini sudah memadai sebagai aktiviti permulaan kerana laluannya begitu teratur, dibina tangga dan lengkap dengan penunjuk arah.

Terletak di kawasan seluas 545 hektar bersebelahan dengan Hutan Simpan Bukit Lagong di Kepong, sebelum PKP dikuatkuasakan, orang ramai sering menjadikan FRIM sebagai kawasan rekreasi terutamanya pada hujung minggu.

Menurut Khali, sebarang pendakian bukit ataupun merentas hutan, tidak kira ke FRIM mahupun mana-mana hutan-hutan simpan atau rekreasi haruslah mendapatkan permit kebenaran masuk daripada pihak berkaitan.

Malah kakitangan FRIM sendiri, kata beliau, perlu memohon permit masuk untuk menjalankan penyelidikan dalam hutan simpan atau rekreasi dari Jabatan Perhutanan Negeri.

“Semua jenis lawatan ke FRIM juga sebenarnya memerlukan kebenaran sama ada dalam bertulis ataupun tiket, meskipun hanya untuk rekreasi ataupun berjoging.

“Prosedur ini penting bukan sahaja untuk melindungi persekitaran alam semulajadi, tetapi bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya sambil memberi contoh kejadian seorang pengunjung tersesat ketika melakukan aktiviti jungle trekking di denai alam FRIM, dua tahun lepas.

Beliau menambah, sebarang kegiatan jungle trekking perlu ada jurupandu alam (nature guide) bertauliah bagi memastikan keselamatan dan mengelakkan daripada vandalisme berlaku di dalam hutan.

“Berikutan Covid-19 dan PKP, jumlah pendaki perlu dihadkan dan syarat wajib untuk menggunakan khidmat jurupandu juga boleh ditetapkan bukan sahaja untuk keselamatan, tetapi juga memberi pendedahan dan pendidikan kepada pendaki mengenai kepentingan ekosistem hutan kepada manusia,” katanya.

Khali berkata, pemasangan CCTV adalah antara langkah bagi memastikan keselamatan pengunjung di hutan pendidikan dan rekreasi, selain mengelakkan vandalisme harta benda awam.

“Walau bagaimanapun, pendidikan alam sekitar sangat penting bagi memberi kesedaran kepada pengunjung tentang penjagaan hutan, terutamanya terhadap pengambilan hasil hutan kerana ia akan merosakkan ekosistem.

“Kesalahan mengambil hasil hutan tanpa kebenaran itu adalah tertakluk kepada Subseksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Hutan simpan penyejuk suhu bandar

Pembangunan bandar dan penempatan secara tidak langsung mengurangkan kawasan hijau dan hutan sebagai penyimpan khazanah alam semulajadi.

Khali yang menegaskan perkara ini berkata, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan terus berusaha mewartakan kawasan hijau dan hutan rimba sebagai hutan simpan kekal bagi mengekalkan ekosistem dan menurunkan haba bandar akibat pembangunan pesat.

“Secara keseluruhannya, kira-kira 12.7 juta hektar hutan simpan diwartakan di seluruh negara. Bagi hutan pendidikan pula sebanyak 128 kawasan merangkumi 123 Taman Eko Rimba dan lima hutan taman negeri,” katanya.

Beliau menambah, suasana persekitaran hutan simpan yang dikelilingi pokok hutan hujan tropikal turut berupaya menurunkan haba dan menyerap gas karbon yang dihasilkan oelh kenderaan dan kilang di sekitarnya.

“Pokok dari kawasan hutan simpan dan pendidikan di bandar juga mampu menyerap bau serta gas tercemar, serta menapis partikel terampai yang melekat di daun dan batang pokok.

“Menurut kajian, dalam 0.4 hektar pokok yang matang berfungsi menyerap karbon dioksida yang dikeluarkan oleh 26,000 batu kereta secara puratanya dan sebatang pokok yang matang mampu menyerap 21.8 kilogram karbon dioksida setahun,” katanya.

Khali berkata selain pemeliharaan hutan simpan, kerajaan juga menggerakkan usaha penghijauan negara melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilaksanakan selama lima tahun bermula tahun 2021.

“Kewujudan kawasan hijau di bandar berupaya menyumbang kepada kesejahteraan bandar, selain berperanan sebagai lokasi untuk aktiviti riadah dan rekreasi, serta medium aktiviti kemasyarakatan.

“FRIM menyokong sepenuhnya tindakan PBT dan kerajaan negeri bagi menjayakan kempen penanaman pokok di jalan-jalan dan bangunan bandar, seiring dengan prinsip asas dalam arborikultur iaitu ‘Tanam pokok yang sesuai di tempat yang sesuai’ (Plant a right tree at a right place),” katanya.

Menurut beliau, terdapat kira-kira 20 spesies pokok teduhan dan hiasan yang berpotensi dijadikan sebagai pokok ameniti pilihan untuk ditanam di dalam kawasan bandar.

“Antara pokok yang sesuai ditanam di kawasan bandar termasuklah jemerlang (Yellow flame), penaga lilin (Mesua ferrea), bunga tanjung (Mimusops elengi), dan geronggang (Cratoxylum formosum).

“Penanaman pokok di bandar adalah bagi mengindahkan jalan-jalan dan bangunan, memberi teduhan, mengurangkan silauan matahari, merendahkan suhu dan mengurangkan pencemaran udara,” katanya.

Beliau berkata, peranan Arborist atau ‘doktor pokok’ juga penting dalam memastikan pokok yang ditanam di sekitar bandar mendapat penjagaan rapi dari segi pemindahan pokok, pemangkasan, pengurusan risiko, pencegahan kerosakan akibat cuaca dan kesuburan pokok.

“Ia juga bagi mengelakkan daripada pokok tumbang akibat terlalu tua dan cuaca tidak menentu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor miliki 250,860 hektar hutan simpan, giat tambah luas

SHAH ALAM, 11 NOV: Selangor mempunyai 250,860 hektar hutan simpan kekal atau 31.63 peratus daripada keluasan tanah negeri, kata EXCO alam sekitar.

Hee Loy Sian berkata Kerajaan Negeri tidak sewenang-wenang memusnahkan hutan simpan untuk aktiviti pembangunan seperti didakwa sesetengah pihak.

“Walaupun Selangor pesat membangun, kita memberi jaminan untuk mempertahankan hutan simpan kekal malah berusaha menambah keluasannya bagi tempoh jangka panjang.

“Selain itu kita juga mempertimbangkan untuk menanam semula pokok di kawasan hutan simpan yang berlaku kerosakan akibat pertanian dan penerokaan hutan secara haram,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar mengenai keluasan hutan simpan kekal pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Loy Sian berkata seluas 3,463 hektar hutan simpan diteroka untuk aktiviti pertanian yang kebanyakannya berlaku ketika pentadbiran terdahulu.

“Bagi mengatasi isu ini, kita bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan termasuk membincangkan kaedah terbaik cara untuk elak masalah ini terus berlaku,” katanya.

Pada 25 Jun lalu, Loy Sian berkata Kerajaan Negeri menyasarkan tempoh lima tahun bagi mencapai 35 peratus keluasan hutan simpanan kekal.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Empat lokasi gantian hutan simpan, 300 ekar lebih luas

SHAH ALAM, 20 FEB: Kerajaan Negeri.menyenaraikan empat kawasan cadangan sebagai gantian terus terhadap cadangan pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara seluas 930 hektar (2,300 ekar), kata Dato’ Menteri Besar.

Terus mengekalkan 30 peratus hutan simpan di Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata saiz kawasan gantian itu menjadikan hutan simpan itu lebih luas 300 ekar berbanding sebelum proses pewartaan keluar dibuat.

Beliau berkata dua lokasi hutan ganti terletak di Sungai Panjang, Sabak Bernam manakala dua lagi di Kuala Selangor dan Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, malah ia bercantum dengan Hutan Simpan Raja Muda Musa, sebuah hutan paya gambut terbesar di Semenanjung Malaysia..

“Penggabungan ini menjadikan kita (Selangor) sebagai negeri mempunyai hutan paya gambut terbesar di semenanjung dan kedua atau ketiga terbesar di Malaysia,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Negeri di sini hari ini.

Menegaskan Selangor satu-satunya negeri yang membuat pendengaran awam untuk pewartaan keluar hutan simpan, Amirudin berkata proses tersebut masih pada peringkat cadangan dan terbuka kepada bantahan sehingga 5 Mac ini.

“Kita masih dalam proses kedua daripada pewartaan keluar hutan simpan kekal iaitu penyediaan salinan pelan kawasan dan laporan bertulis untuk proses hebahan serta penyiaran notis penyiasatan awam,” katanya.

Beliau berkata 40 peratus Hutan Simpan Kuala Langat Utara menjadi hutan rosot akibat kebakaran dan pencerobohan dan kawasan itu sesuai dibangunkan berikutan lokasinya turut terlibat dalam jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

 

 

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor ‘haramkan’ pembalakan selama 25 tahun

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 14 JUL: Kerajaan Selangor adalah satu-satunya negeri yang mengharamkan pembalakan, kata Pengarah Jabatan Perhutanannya, Dato’ Dr Puat Dahalan.

Katanya, dasar moratorium yang diputuskan Kerajaan Negeri ke atas pembalakan sememangnya memberi kesan begitu positif terhadap hutan negeri ini.

“Tempoh moratorium ini bukan diamalkan selama lima hingga 10 tahun sahaja sebaliknya hampir 25 tahun, ia bermula dari tahun 2010 dan dijangka berakhir pada 2035.

“Tidak dinafikan ketika hendak mencapai kata putus bagi moratorium ini bukanlah kerja mudah, Jabatan Perhutanan Selangor bersama Kerajaan Negeri pada waktu itu perlu berani mengambil tindakan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 2017, negara kerugian kira-kira RM15.2 juta akibat daripada aktiviti pembalakan haram di Semenanjung Malaysia dari tahun 2006 hingga 2016.

Puat berkata, hakikatnya Selangor adalah sebuah negeri yang dipenuhi dengan sektor perindustrian sekaligus memerlukan bahan kayu mentah dalam jumlah banyak.

“Malah mengikut undang-undang Majlis Perhutanan Negara membenarkan sesebuah negeri membuat pembalakan ke atas 1,000 hektar tanah setahun.

“Tetapi kita tetap nafikan hak berkenaan dan tidak mahu menerima pendapatan melalui pembalakan, ini adalah satu kebanggaan buat Selangor,” katanya.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

DNS lulus pindaan enakmen hutan, denda lebih berat penceroboh

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 MAC: Sidang Dewan Negeri (DNS) hari ni meluluskan cadangan Rang Undang-Undang Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara (pindaan) 2018 yang memberi hukuman berat terhadap penceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) sekaligus menjadi negeri pertama melaksanakan pindaan itu.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, pindaan itu bertujuan mengekang individu daripada melakukan kesalahan dengan menaikkan jumlah denda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak melebihi RM1 juta.

Manakala, penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun.

Katanya, pindaan itu akan meningkatkan lagi perlindungan hutan sedia ada serta memberi saranan pencegahan kepada semua.

“Sejak 2018, Kerajaan Negeri mengutamakan pemuliharaan dan konservasi hutan sebagai langkah kelestarian masa depan rakyat serta generasi akan datang.

“Melalui Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) dan Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Kerajaan Negeri mewujudkan perlindungan hutan lima bintang yang terbaik di Malaysia.

“Walaupun Selangor pesat membangun pesat membangun, namun khazanah alam semulajadi tetap dijaga. Kebelakangan ini pihak Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) bersama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (SPRM) giat menyerbu dan menangkap individu atau penceroboh hutan simpan di seluruh negara,” katanya ketika ditemui di Lobi Dewan Annexe.

Elizabeth berkata penguatkuasaan bagi undang-undang baru itu akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat selepas mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pada masa sama, beliau memaklumkan hak Orang Asli tetap dipelihara mengikut Akta 134 walaupun pindaan itu dilakukan.

 

Pindaan dan Hukuman

Beliau berkata pindaan Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 kepada Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 2018 membabitkan pindaan kepada Seksyen 5 berhubung dengan perwakilan kuasa oleh Pengarah Perhutanan Negeri dan Pindaan kepada seksyen-seksyen yang membabitkan kesalahan dan hukuman bagi kesalahan Seksyen baharu 103A, 103B dan 110B.

Antara pindaan diluluskan:

1) Seksyen 5 Enakmen No 5 1985 dipinda 5 (1)(a) dengan tujuan pengoperasian di jabatan dan perlu meluaskan skop perwakilan kuasa oleh Pengarah Hutan Negeri kepada mana-mana yang dilantik di bawah Enakmen.

Perwakilan itu tidak seharusnya terhad kepada Penolong Pegawai Hutan Daerah sahaja kerana Pengarah Perhutanan Negeri boleh menurunkan kuasanya kepada mana-mana pegawai hutan yang melaksanakan tugas di bawah enakmen itu.

2) Seksyen 15 Enakmen NO 5 1985 dipinda dalam perenggan 15 (2) dengan menaikkan jumlah denda tidak kurang dari RM100,000 dan tidak melebihi RM1 juta dan penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun.

Ia dilaksanakan bagi kesalahan membabitkan hasil utama hutan dan hasil kecil hutan yang isipadunya kurang daripada 2 meter padu dan lebih daripada 2 meter padu di kawasan HSK dan tanah kerajaan.

3) Seksyen 40 Enakmen No 5 1985, memperincikan denda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak melebihi RM1 juta dan penjara tidak kurang lima tahun serta tidak melebihi 20 tahun.

Ia dilaksanakan bagi kesalahan membabitkan lesen pemindah hasil utama hutan dan hasil kecil hutan yang isipadunya kurang daripada 2 meter padu dan lebih daripada 2 meter padu di tanah beri milik, tanah di bawah lesen pendudukan sementara, tanah lombong dan tanah rizab.

4) Seksyen 86 Enakmen No 5 1985, memperincikan dan menaikkan kadar denda tidak kurang RM100,000 tetapi tidak melebihi RM1 juta dan penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun.

Ia dilaksanakan bagi kesalahan melancung, mencacat dan memiliki alat melancung, tanda pokok dan kayu atau mengubah sempadan.

 

 

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

Tangani pencerobohan hutan, pelihara alam sekitar

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 MAC: Sebanyak 20 kes bagi pencerobohan hutan dan kecurian di Hutan Simpan Bakau dikenalpasti setakat ini, sepanjang persisiran pantai Selangor.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata daripada jumlah itu, sejumlah 4,811 batang kayu jaras bakau dirampas membabitkan keluasan empat hektar kawasan diceroboh.

“Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) akan memulihkan kawasan hutan diceroboh dengan aktiviti penanaman semua spesis pokok bersesuaian.

“JPNS turut menganjurkan program kesedaran membabitkan penyertaan pelajar dari institusi setempat dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya di Sidang Dewan Negeri (DNS) bagi menjawab soalan Datuk Shamsuddin Lias-Sungai Burong.

Pada masa sama, Elizabeth berkata JNPS turut mengambil tindakan perobohan rumah dan pondok yang didirikan secara haram di kawasan hutan simpan Sabak Bernam.

“Semua pihak diharapkan bekerjasama menyalurkan aduan kepada Kerajaan Negeri atau JPNS sekiranya menyedari terdapat pencerobohan hutan sama ada aktiviti penebangan atau pembinaan,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut mengadakan pemantauan berkala bagi menangani aktiviti pencerobohan itu secara berkala.

Januari lalu, sebuah syarikat pengimport kayu bakau di Banting disyaki menggunakan dokumen palsu selain mendakwa mendapat permit dari Indonesia bagi membawa masuk kayu bakau dari negara jiran.

Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Mohd Yussainy Md Yusop berkata, ini susulan penemuan lebih 20,000 kayu bakau ketika mengadakan lawatan kerja luar semalam.

Katanya, syarikat berkenaan didapati menyimpan kayu bakau melebihi 20,000 batang kayu yang diisytiharkan.

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

Keluasan Hutan Simpan Kekal meningkat kepada 33 peratus

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 MAC: Keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Selangor mencatatkan peningkatan kepada 33 peratus berbanding 30 peratus sebelum ini.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata jumlah itu melepasi sasaran yang ditetapkan sebelum ini.

Katanya, Kerajaan Negeri komited dalam usaha itu bagi mengekalkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kawasan tanah biarpun Selangor adalah negeri paling padat dengan industri, penduduk dan termaju di Malaysia.

“Kita mempunyai dasar perlindungan hutan terbaik di negara ini apabila sejak 2009, Kerajaan Negeri melaksanakan moratorium selama 25 tahun tiada pembalakan komersial.

“Kita menggubal enakmen negeri yang baru bagi memastikan pendengaran awam sebelum sebarang warta keluar rizab hutan simpan kekal dilaksanakan,” katanya ketika menyorot kejayaan portfolionya yang bertajuk ‘Membina Masyarakat Madani dan Membina Alam, di Karnival Himpunan Rakyat, di sini.

Pada masa sama, Elizabeth berkata Permatang Kuarza di Gombak juga bakal mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Katanya, aset geologi dimiliki kuarza itu mempunyai nilai tinggi dan boleh ditarafkan sebagai warisan rantau, melebihi taraf warisan kebangsaan.

Terdahulu, Kerajaan Negeri mahu Permatang Kuarza itu bukan sahaja diiktiraf sebagai tapak warisan kebangsaan, tetapi menjadi tapak warisan dunia dalam kategori warisan semula jadi.

Ia berikutan kawasan ini adalah tembok batuan semulajadi luar biasa di pinggir Banjaran Titiwangsa yang membentuk permatang terpanjang di dunia iaitu 14 kilometer (km) dengan kelebaran 50 meter.

Kawasan itu juga memiliki 265 spesies tumbuh-tumbuhan yang menjadikan kuarza sebagai habitat mereka.

Sementara itu, Kerajaan Negeri turut meluluskan 414.531 ekar keluasan tanah Kampung Orang Asal yang diwartakan sebagai kawasan atau rizab Orang Asal sejak 2008.

Bagi Hulu Selangor iaitu Kampung Orang Asli Sungai Jang Kerling dengan keluasan 4.18 yang diwartakan 24 Oktober 2013.

Manakala bagi daerah Kuala Langat, Taman Desa, Kemandol dengan keluasan 86.79 ekar dan Kampung Orang Asli Sungai Bumbun, Pulau Carey pada keluasan 329.6 peratus pada 26 Oktober 2017 lalu.

Bagi daerah Sepang iaitu Kampung Orang Asli Bakok yang berkeluasan 9.044 dan daerah Klang, Tanjung Harapan Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang iaitu keluasan 3.00 ekar.

=EZY=

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Atasi sasaran, catat 31.6 peratus rizab hutan simpan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 26 SEPT: Kerajaan Negeri berjaya mencatatkan 31.6 peratus dalam usaha mengekalkan rizab hutan simpan kekal dan ia berjaya melepasi sasaran ditetapkan.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, berkata Kerajaan Negeri komited dalam usaha itu bagi mengekalkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kawasan tanah biarpun Selangor adalah negeri paling padat dengan industri, penduduk dan termaju di Malaysia.

“Kita mempunyai dasar perlindungan hutan terbaik di negara ini di mana sejak 2009, telah melaksanakan moratorium selama 25 tahun tiada pembalakan komersial.

“Kita telah menggubal enakmen negeri yang baru bagi memastikan pendengaran awam sebelum sebarang warta keluar rizab hutan simpan kekal dilaksanakan,” katanya dalam majlis perasmian Muzakarah Pakar Maqasid al-Shariah 2017 di bangunan IDE, di sini, hari ini.

IDESelain perlindungan hutan, beliau berkata, Kerajaan Negeri juga melaksanakan kerangka Bandar Rendah Karbon (LCCF) bagi mewujudkan komuniti dan persekitaran lestari selain melancarkan kempen #Bebas Plastik sejak 2009 dalam usaha pemeliharaan alam sekitar juga kepelbagaian biologi.

Katanya, usaha Institut Darul Ehsan menganjurkan muzakarah membincangkan isu berkaitan alam sekitar dipuji dan sewajarnya digalakkan kerana ia mempertemukan ahli akademik, pembuat dasar dan masyarakat untuk berbicara serta berkongsi idea dalam isu berkenaan.

“Isu alam sekitar adalah isu global yang penting untuk diwacanakan.

“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memelihara akam sekitar tetapi usaha ini dilihat masih gagal dalam mewujudkan kesedaran dan pengurusannya yang lebih berkesan.

“Dalam isu ini, saya melihat peranan agama dan budaya perlu diangkat secara serius dalam memastikan pemeliharaan dan pemuliharaan sumber alam semula jadi diberi perhatian sepenuhnya,” katanya.

Elizabeth berkata, beliau percaya setiap agama sejagat tanpa mengira bangsa dan keturunan, berpegang kepada prinsip semua makhluk adalah khalifah yang mesti menunaikan tanggungjawab menyayangi segala ciptaan tuhan.

“Ini jelas menunjukkan mana-mana agama amat menitikberatkan penjagaan alam sekitar dan menolak sebarang eksplotasi ke atasnya.

“Prinsip penjagaan alam sekitar harus ditegakkan da dilaksanakan merentasi perbezaan agama,” katanya.

Muzakarah Pakar Maqasid al-Shariah 2017 anjuran IDE bertema “Pembangunan Hijau dan Kelestarian Alam Sekitar” menghimpunkan beberapa ahli akademik dan pihak berkaitan bagi membincangkan isu berkenaan.

Turut hadir, Pengerusi IDE, Dato’ Dr Siddiq Fadzil, Ahli Lembaga Pengarah IDE, Dato’ Kamarudin Jaafar dan hadirin lain.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Kebakaran hutan jejas penduduk Acheh

JAKARTA, 27 JULAI: Asap tebal ekoran kebakaran hutan di Acheh, Indonesia yang berlarutan sejak minggu lalu memaksa puluhan penduduk wilayah itu mendapatkan rawatan akibat mengalami masalah pernafasan, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Beberapa sekolah di Meulaboh juga terpaksa ditutup sejak semalam susulan asap tebal kebakaran yang sehingga kini memusnahkan lebih 70 hektar hutan di kawasan itu.

Agensi Pengurusan Bencana Negara itu juga dilaporkan meminta petani di kawasan berkenaan mengelak daripada melakukan pembakaran terbuka di ladang masing-masing atau membuka ladang baharu dengan membakar hutan.

achehMenurut agensi itu, kebakaran hutan dikhuatiri semakin buruk berikutan cuaca kering yang dijangka berlarutan selama beberapa bulan lagi.

Memetik BERNAMA, berdasarkan laporan, terdapat kira-kira 180 titik panas dikesan membabitkan kebakaran hutan di enam wilayah di Indonesia, namun jumlah itu jauh lebih rendah berbanding titik panas yang dikesan ekoran kebakaran hutan, pada tahun 2015.

Mengikut kajian yang dibuat dua universiti dari Amerika Syarikat iaitu Universiti Harvard dan Universiti Columbia pada tahun lalu, pencemaran asap yang berlaku pada 2015 dipercayai menjadi punca kematian kira-kira 100,000 bayi pramatang.

Categories
SELANGOR

Polisi pemuliharaan dan pengurusan pokok diperkenal

OLEH: LIZAWATI MADFA

PETALING JAYA, 16 MEI: Polisi komprehensif bakal diperkenalkan dalam masa terdekat bagi kerja pemuliharaan, penyelenggaraan dan pengurusan pokok di Selangor.

Timbalan Pengarah Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Mas Sakdah Kamaruzzaman, berkata dasar sedia ada mempunyai kekangan untuk dilaksanakan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan dan agensi kerajaan.

pokok besar“Baginda Sultan Selangor juga berkenan agar aktiviti penghijauan alam sekitar dilaksanakan secara berterusan.

“Dengan kekangan yang ada serta titah Sultan, maka kita berkumpul untuk menambah baik polisi sedia ada,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau ditemui ketika menghadiri Bengkel Pemuliharaan dan Penyelenggaraan Pokok Negeri Selangor di sebuah hotel di sini.

Disertai lebih 30 wakil PBT, bengkel berkenaan dikendalikan Persatuan Aboris Malaysia yang bertindak sebagai fasilitator rasmi.

puan mas -webSehingga kini, terdapat lapan dasar utama yang terpakai berkaitan penjagaan pokok seperti Akta Perancangan Bandar dan Desa (Akta 172), Akta Kerajaan Tempatan 171 dan Dasar Landskap Negara.

Dasar lain termasuk Lanskap Master Plan PBT Negeri Selangor, Kaedah-kaedah Perintah Pemeliharaan Pokok 2001, Undang-undang Kecil Taman PBT Negeri Selangor, Garis Panduan Perhutanan Bandar (Jabatan Perhutanan Negeri Selangor) dan Saranan Majlis Biodiversiti Negara – Mengutamakan dan Mempelbagaikan Spesis Tempatan dan Buah-buahan Hutan.

EZY

Categories
SELANGOR

PTD disaran kenal pasti tanah diwarta hutan simpan

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 MEI: Pentadbir Tanah Daerah (PTD) disaran mengelpasti tanah kerajaan yang tidak sesuai untuk dibangunkan diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Selangor tidak boleh berasa selesa dengan jumlah semasa hutan simpan meskipun melebihi 30 peratus ditetapkan sebelum ini bahkan ia perlu diperluaskan.

“Dianjurkan pentadbir tanah daerah untuk mengenalpasti tanah kerajaan yang tidak sesuai lagi dibangunkan untuk diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal sebagai usaha berterusan menambah peratusan.

perhutanan 3“Walaupun kita telah melepasi sasarannya, ini tidak bermakna kita selesa dengan statistik itu dan ia perlu diperluaskan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian dalam ucaptama Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor yang dihoskan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

Beliau turut memaklumkan Pentadbir Tanah Daerah Gombak sebelum ini mencadangkan pewartaan keluar kawasan Hutan Simpan Kekal seluas 50 ekar bagi tujuan tanah perkuburan dengan gantian tanah seluas 151 ekar.

Katanya, pemeliharaan hutan simpan penting kerana bencana alam yang berlaku mutakhir ini disebabkan kecuaian manusia dan akhirnya mencetuskan fenomena El-Nino.

“Kalau Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan mengambil langkah proaktif untuk tidak membenarkan hutan ini diterokai dengan sewenang-wenangnya dan memberikan kelulusan semudah-mudahnya, fenomena El Nino boleh ditangani dengan baik dan teratur.

“Kita jangkakan tidak ada masalah air, saya beri jaminan dan tidak berlaku catuan air bagi kepentingan rakyat,” katanya.

Hadir sama dalam perhimpunan bulanan Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya, Speaker Dewan Negeri Selangor, Hannah Yeoh dan Pengarah Jabatan Perhutanan Selangor, Dr Mohd Puat Dahalan.

Dalam majlis sama, Mohamed Azmin turut melancarkan buku ‘Orchidea Selangoreana – Wild Orchid of Selangor’ dan menyampaikan sijil penghargaan kepada jabatan serta agensi terlibat dalam Operasi Pemadaman Kebakaran Hutan.

EZY

Categories
SELANGOR

Hutan simpan Selangor lebih 31%

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 MEI: Hutan Simpan Negeri Selangor kekal melebihi 31 peratus dengan pengekalan sumber seluas 250,129 hektar.

Pengarah Jabatan Perhutanan Selangor, Dr Mohd Puat Dahalan, berkata jumlah itu perlu diselia rapi supaya ia kekal pada tahap selesa dengan ada penambahan keluasan Hutan Simpanan kekal (HSK) dari semasa ke semasa.

“Dasar moratorium ke atas pembalakan diamalkan mampu menampilkan kesungguhan serta iltizam Kerajaan Selangor untuk terus menjaga khazanah serta warisan hijau supaya ia sentiasa terpelihara,” katanya.

hutan selangorBeliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor yang dihoskan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

Mohd Puat berkata, Jabatan Perhutanan berjaya menjalankan 2,739 aktiviti penguatkuasaan hutan sepanjang 2015 melibatkan pengesanan kes, pemeriksaan kawasan lesen pengusahasilan, pemeriksaan industri berasas kayu rondaan dan operasi penguatkuasaan.

“Sebanyak 39 kertas siasatan dibuka dan 36 kes diselesaikan sementara tiga lagi dalam proses untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga dalam proses untuk menaik taraf jeti bagi kegunaan pengkalan bot jabatan dan sebahagian besar bot itu sudah dibaik pulih bagi tujuan operasi serta penguatkuasaan.

EZY