Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Komited tingkat inovasi pelajar

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA SELANGOR, 26 JULAI: Kolej Antarabangsa INPENS (INPENS) komited memberdaya bidang inovasi di kalangan pelajarnya dengan menyertai Anugerah Inovasi Selangor 2017 (AINS 2017) peringkat Kuala Selangor, 20 Julai lalu.

Ia adalah penyertaan tahun ketiga INPENS di mana pada tahun ini kolej terbabit memepertaruhkan empat produk iaitu MA Board, Motor KU, Smart Hammer dan Smart Car Dolly.

Ketua Eksekutifnya, Ahmad Zabri Mohd Yaman berkata, penyertaan dalam pertandingan itu adalah rutin tahunan kolej terbabit selain tanda sokongan terhadapnya.

“Ia juga bertepatan dengan karakter INPENS selaku institusi pengajian kemahiran ulung Selangor.

“Tahun ini kita menyertainya dengan mempertaruhkan empat produk berkaitan dengan kursus kemahiran ditawarkan di kolej ini,” katanya.

Mengulas mengenai dua produk dihasilkan, beliau berkata, MA Board adalah hasil inovasi pelajar pembuatan pakaian di INPENS apabila produk itu bukan sahaja berfungsi sebagai meja seterika tetapi juga boleh dijadikan kerusi dan tangga.

Manakala Motor KU, katanya, ialah hasil inovasi khas untuk membantu golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) menaiki motosikal yang lebih bersesuaian dengan fizikal mereka manakala kos diperlukan adalah sangat minimum.

“INPENS sangat menggalakkan warganya untuk menceburi bidang inovasi memandangkan ia sangat sinonim dengan pendidikan kemahiran.

“Pada masa akan datang, kita akan juga menghantar penyertaan inovasi ke pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi memberikan lebih banyak pengalaman serta pendedahan kepada pelajar.

“INPENS sentiasa mengalu-alukan kehadiran belia yang kreatif dan berinovasi untuk mendaftar di kolej ini,” katanya.

=EZY=