Categories
SELANGOR

MPKj bangun bandar strategik, pilihan komuniti

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KAJANG, 18 JULAI : Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mensasarkan pembangunan bandar lebih strategik agar perbandaran itu kekal menjadi pilihan penempatan warga bandar.

Yang Dipertuanya, Mohd Sayuthi Bakar berkata, komitmen itu dizahirkan menerusi inisiatif pembaikan infrastruktur berterusan dan pembangunan jangka panjang untuk warganya.

“Kedudukan MPKj yang strategik bersempadan dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya menjadikan MPKj sebagai kawasan pesat membangun terutama bagi projek perbandaran untuk menampung permintaan warga kota.

Mohd Sayuthi MPKj“Selaras dengan perkembangan ini, MPKj memperkemaskan hala tuju perbandaran untuk menjadikan Kajang sebagai sebuah bandar pilihan untuk didiami.

“Bagi mencapai hasrat itu, beberapa fokus dilaksanakan termasuklah meningkatkan kemudahan awam dan infrastruktur kepada masyarakat setempat.

“Diharap pemaju perumahan kekal memilih perbandaran ini untuk menjadi sebuah perbandaran moden dan mesra alam untuk didiami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Dewan Seri Cempaka dan Program Rumah Terbuka Aidilfitri MPKj 2017, di sini pagi ini.

Terdahulu, pelbagai kemudahan dan pembangunan setempat giat dilaksanakan perbandaran itu dalam usaha memastikan komuniti setempat mendapat manfaat berterusan.

Antara projek dilaksanakan termasuklah peningkatan jaringan pengangkutan awam dan pembangunan dewan perbandaran untuk kegunaan komuniti.

Difahamkan, terdapat 10 buah dewan komuniti sedang dibina dengan menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri dan perolehan hasil cukai tempatan.

Pada masa sama, persimpangan bertingkat yang baru siap dibina di Bandar Baru Bangi Kajang 2 dan Bandar Teknologi Kajang diyakini mampu menjadi penghubung laluan alternatif perbandaran itu.