Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Elak terjebak rasuah, MBPJ tapis ketat calon penjawat awam

SHAH ALAM, 4 MEI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menapis ketat calon penjawat awam baharu bagi mencegah gejala rasuah dan jenayah.

Datuk Bandarnya Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata individu yang dilantik kemudian wajib menghadiri kursus yang menekankan aspek kerja dan jati diri.

“Seseorang penjawat awam yang diamanahkan kuasa dan tanggungjawab perlu bertindak secara telus
dengan mematuhi proses atau tatacara undang-undang ditetapkan,” katanya dalam perutusan pada 27 April.

Beliau menegaskan MBPJ tidak berkompromi terhadap kakitangan terlibat rasuah dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa jika ada yang disabitkan dengan gejala itu.

“Tindakan tegas akan diambil termasuk menamatkan khidmat mereka yang didapati terbabit dan bersalah dalam jenayah, rasuah, salah laku yang serius dan kes berulang,” kata Mohd Sayuthi.

Menurut statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia antara 2015 hingga 2020, sebanyak 2,683 daripada 5,652 tangkapan rasuah membabitkan penjawat awam.

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah dunia bagi tahun 2020 jatuh pada kedudukan 57 daripada 180 negara, berbanding tangga 51 pada 2019.

Categories
SELANGOR

80 warga MPKj terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

HAZIQ ISMAIL

KAJANG, 13 APR: Seramai 80 kakitangan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dari pelbagai jabatan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 yang diraikan dalam satu majlis, semalam.

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MPKj 2017 yang disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali itu turut meraikan jasa 14 pesara.

Yang Dipertuanya, Mohd Sayuthi Bakar merakamkan setinggi penghargaan kepada semua penerima anugerah dan berharap komitmen lebih tinggi dapat diberikan sepanjang perkhidmatan mereka.

Katanya, ini kerana kecemerlangan sesebuah organisasi tidak hanya bergantung pada satu pihak sebaliknya ia melibatkan semua peringkat yang bekerja dalam satu pasukan.

“Tanpa mengambil kira peringkat dan latar belakang jawatan, semua peringkat jawatan layak dinobatkan sebagai agen tranformasi perkhidmatan awam di MPKj.

“Saya berharap kecemerlangan yang dizahirkan terus berkekalan,” katanya ketika berucap di pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MPKj 2017, di Dewan Sri Cempaka Taman Saujana Impian.

Mohd Sayuthi berkata, Setiap jabatan dan jawatan memainkan peranan penting melaksanakan amanah diberikan sekali gus memastikan hala tuju dan kecemerlangan MPKj tercapai.

“Anugerah ini adalah pengiktirafan khusus buat warga MPKj yang menghasilkan kualiti perkhidmatan bermutu dan cemerlang serta sentiasa memenuhi kehendak stakeholders dari kumpulan sasar,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

MPKj lancar E-Lesen, mudah urusan pemohon

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KAJANG, 6 MAC: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) melangkah setapak lagi dengan menyediakan perkhidmatan Sistem Perlesenan Atas Talian (E-Lesen) bagi memudahkan penduduk di bawah seliaannya membuat permohonan dan pembaharuan lesen.

Yang Dipertuanya, Mohd Sayuthi Bakar berkata, sistem berasaskan web itu membantu pengguna awam, jabatan perlesenan, penjaja serta jabatan teknikal dalam mendapatkan maklumat lesen perniagaan.

Katanya, inisiatif berteknologi itu juga membantu urusan pentadbiran pemprosesan dokumen lebih efisien selari dengan agensi kerajaan dan swasta.

“Sistem ini melibatkan permohonan dan pembaharuan bagi dua kategori lesen iaitu Lesen Tidak Berisiko dan Lesen Anjing.

“Lesen Tidak Berisiko terdapat 52 jenis antaranya kedai pakaian, kedai cermin mata, kedai kasut dan kedai alat permainanan kanak-kanak melibatkan kelulusan teknikal dari jabatan perlesenan MPKj sahaja.

“Manakala lesen berisiko adalah lesen yang tidak sensitif seperti memerlukan sokongan dan ulasan jabatan kerajaan dan permohonan diterima adalah lengkap serta tidak boleh membuat sebarang ubahsuai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Pelancaran E-Lesen Perniagaan dan Anjing di Ibu Pejabat MPKj, di sini hari ini.

Katanya, bagi lesen anjing, pemilik perlu mendapatkan suntikan dan sijil kesihatan sah dari pegawai atau doktor veterinar.

“Selain itu, orang ramai kini boleh mencetak sendiri lesen yang telah dimohon atau diperbaharui dari rumah sahaja tanpa perlu datang ke MPKj.

“Bagaimanapun, pemohonan lesen tidak berisiko masih diperingkat percubaan kerana terdapat beberapa perkara yang perlu penambahbaikan dan ia berfungsi sepenuhnya 27 Mac ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Isu Bukit Broga, MPKj perketat aspek keselamatan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 MAC : Aspek keselamatan di Bukit Broga diperketatkan sebagai jaminan insiden membabitkan kemalangan pendaki di kawasan riadah itu, tidak berulang.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Mohd Sayuthi Bakar berkata, aspek keselamatan diberi perhatian menyeluruh terutamanya di kawasan hotspot dan laluan pendakian.

“Tumpuan aspek keselamatan di kawasan laluan pendakian diberi perhatian memandangkan sebelum ini pendaki tidak dimaklumkan kawasan hotspot laluan Bukit Broga.

“Di peringkat cadangan, selepas kajian dan proses piawaian ditetapkan, MPKj menilai semula sebarang keperluan terhadap keselamatan pendakian di Bukit Broga,” katanya pada sidang media di Menara MPKj, semalam.

Terdahulu, dilaporkan berlakunya beberapa insiden membabitkan beberapa kes pendakian di bukit berkenaan.

Kes terkini melibatkan dua penuntut Universiti Nottingham yang sesat ketika mendaki di puncak bukit berkenaan.

Dalam kejadian lain, turut dilaporkan seorang penuntut Kolej Universiti Islam Melaka terjatuh ketika turun dari puncah pertama Bukit Broga, Semenyih, tahun lalu.

Categories
SELANGOR

Tapak sampah haram punca tasik tercemar diambil tindakan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 FEB: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengambil tindakan drastik ke atas tapak pembuangan sampah haram yang dipercayai menjadi punca pencemaran tasik di Taman Pinggiran Delima, Hulu Langat.

Yang Dipertua MPKj, Mohd Sayuthi Bakar berkata, tindakan segera MPKj itu membolehkan kerja pembersihan tasik dilakasana segera.

“MPKj sudah bertindak kerana ada saliran pada tapak pembuangan sampah yang berdekatan dengan perumahan itu mengalir ke dalam tasik dan pihak kontraktor MPKj juga sedang giat membersihkan tasik itu,” katanya.

Sayuthi berkata, pihaknya turut mengeluarkan arahan supaya aktiviti pelupusan sisa binaan di kawasan itu dihentikan serta-merta.

Malah, katanya, kerja-kerja pembersihan perlu dilakukan tuan tanah.

“Kita kenal pasti punca bau itu dari tapak pelupusan sampah terbabit yang berdekatan dengan kawasan perumahan dan proses rawatan air bagi mengurangkan bau busuk sudah dilakukan,” katanya.

Terdahulu, penduduk mengadu tasik terbabit mengeluarkan bau busuk selain airnya bertukar kehitaman dan berminyak.

Mereka mendakwa terdapat segelintir penduduk muntah dan bau busuk terbabit melekat pada pakaian.

Selain itu, banyak ikan turut mati di tasik terbabit.

Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat turut mengambil tindakan dengan mengeluarkan Notis 7A kepada pemilik tanah supaya memulihkan tanah berkenaan.

Categories
SELANGOR

MPKj: 224 kes denggi setakat 20 Januari

OLEH SABIRAH AZIZ

KAJANG, 26 JAN: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mencatatkan sebanyak 224 kes denggi dengan tiada kes kematian, sehingga 20 Januari lalu.

Yang Dipertuanya, Mohd Sayuthi Bakar berkata, ia adalah permulaan yang agak baik bagi tahun ini kerana tiada kematian dilaporkan di kawasan itu.

“Bagaimanapun, daerah Hulu Langat kekal berada di kedudukan ketiga tertinggi dengan jumlah 292 kes terkumpul.

“Sementara itu, 36 lokaliti wabak direkodkan secara keseluruhan dengan tiga lokaliti hotspot merankgkumi dua di DUN Balakong dan satu di Dusun Tua.

“Selain itu, jumlah keseluruhan lokaliti wabak di bawah seliaan MPKj bagi ekosistem dalam DUN Kajang di Zon MPP 7,8,9 dan 20 adalah empat dan dalam keadaan terkawal,” katanya dalam mesyuarat penuh MPKj bil 1/2018 di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi kes daftar mingguan demam denggi di bawah MPKj, sebanyak 84 kes daftar mingguan dicatatkan sehingga 20 Januari.

“Kami juga akan mengadakan bengkel khas untuk menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menangani kes denggi.

“Diharapkan bilangan kes denggi ini tidak akan meningkat dengan lebih drastik,” katanya.

Categories
SELANGOR

MPKj bangun bandar strategik, pilihan komuniti

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KAJANG, 18 JULAI : Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mensasarkan pembangunan bandar lebih strategik agar perbandaran itu kekal menjadi pilihan penempatan warga bandar.

Yang Dipertuanya, Mohd Sayuthi Bakar berkata, komitmen itu dizahirkan menerusi inisiatif pembaikan infrastruktur berterusan dan pembangunan jangka panjang untuk warganya.

“Kedudukan MPKj yang strategik bersempadan dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya menjadikan MPKj sebagai kawasan pesat membangun terutama bagi projek perbandaran untuk menampung permintaan warga kota.

Mohd Sayuthi MPKj“Selaras dengan perkembangan ini, MPKj memperkemaskan hala tuju perbandaran untuk menjadikan Kajang sebagai sebuah bandar pilihan untuk didiami.

“Bagi mencapai hasrat itu, beberapa fokus dilaksanakan termasuklah meningkatkan kemudahan awam dan infrastruktur kepada masyarakat setempat.

“Diharap pemaju perumahan kekal memilih perbandaran ini untuk menjadi sebuah perbandaran moden dan mesra alam untuk didiami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Dewan Seri Cempaka dan Program Rumah Terbuka Aidilfitri MPKj 2017, di sini pagi ini.

Terdahulu, pelbagai kemudahan dan pembangunan setempat giat dilaksanakan perbandaran itu dalam usaha memastikan komuniti setempat mendapat manfaat berterusan.

Antara projek dilaksanakan termasuklah peningkatan jaringan pengangkutan awam dan pembangunan dewan perbandaran untuk kegunaan komuniti.

Difahamkan, terdapat 10 buah dewan komuniti sedang dibina dengan menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri dan perolehan hasil cukai tempatan.

Pada masa sama, persimpangan bertingkat yang baru siap dibina di Bandar Baru Bangi Kajang 2 dan Bandar Teknologi Kajang diyakini mampu menjadi penghubung laluan alternatif perbandaran itu.

Categories
SELANGOR

MPKj tawar diskaun kompaun 8 kesalahan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 13 MAC: Buat julung kalinya Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menawarkan pengurangan kompaun keatas lapan kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) MPKj

Yang Dipertua MPKj, Mohd Sayuthi Bakar, lapan kesalahan itu melibatkan UUK Penjaja MPKj 2007 terhadap penjaja yang beroperasi tanpa lesen.

“MPKj menawarkan pengurangan serendah RM50 untuk kesalahan itu.

MPKJ_SAYUTI“Manakala tawaran pengurangan kompaun terhadap kesalahan UUK Taman MPKj 2005 bagi kesalahan meletakkan kenderaan berat di taman turut diberi pengurangan sebanyak RM100,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, kesalahan bagi UUK Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing MPKj 2007 iaitu memeliharan anjing tapa lesen turut mendapat pengurangan RM50.

Selain itu, MPKj turut menawarkan pengurangan kompaun UUK Pusat Sukan Persendirian MPKj 2013 sebanyak RM100 dan UUK Iklan MPKj 2007 iaitu menggantung iklan di tiang lampu RM20 bagi setiap kesalahan.

“Kita juga menawarkan pengurangan kompaun ke atas Perintah Pengangkutan Jalan sebanyak RM10.

“Manakala kesalahan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 iaitu terhadap pemilik premis yang meletakkan halangan di kaki lima turut mendapat pengurangan sebanyak RM50.

Oleh itu, orang ramai disarankan menyelesaikan segera tunggakkan pelbagai kompaun bagi mengelakkan sebarang tindakan tegas diambil.

“Ia adalah tawaran terbaik kita tawarkan dan berharap mereka dapat menyelesaikan tunggakan sebelum pendakwaan di mahkamah dibuat terhadap mereka yang gagal melangsaikan kompaun,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pakatan Rakyat Bukti Lebih Cekap Dari Umno Siapkan Jambatan Ke-Tiga Klang

DENGKIL 25 NOV : Kegagalan Umno-BN menepati janji mereka untuk membina jambatan ke-tiga di Klang empat tahun adalah bukti bahawa gagasan itu menaburkan janji hanya untuk pilihanraya.

Manakala kebolehan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk mencari dana tanpa dibantu Umno-BN dan menyiapkan projek tersebut, adalah bukti PR lebih cekap, amanah dan bekerja tanpa mengira waktu kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Ini tidak, selepas diumumkan kalah pada PRU lepas, terus projek jambatan ketiga (Klang) yang dijanjikan empat hari sebelum itu tidak dilaksanakan.

“Jadi kita ingin beritahu kepada Kerajaan Persekutuan, kalau mereka tiada duit, Kerajaan Negeri sediakan peruntukan RM 300 juta untuk membina jambatan yang dijanjikan mereka dahulu.”

Abdul Khalid berkata di dalam ucapannya di depan lebih 4,000 hadirin di Majlis Rumah Terbuka Deepavali Negeri Selangor di sini malam tadi.

 

Seminggu sebelum pilihanraya pada Mac 2008, Kerajaan Pusat Umno-BN telah mengumumkan akan membina jambatan ke-tiga untuk Klang dalam masa beberapa bulan selepas pilihanraya.

Akan tetapi projek itu tidak dilaksanakan sehingga hari ini.

Pada sidang Dewan Negeri Selangor baru-baru ini Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengumumkan akan mengguna RM 300 juta dari rizab negeri untuk menyiapkan jambatan itu.

Sejurus selesai memberi ucapan, Menteri Besar berkesempatan menyampaikan sumbangan berjumlah RM 110,000 kepada wakil lima buah kuil.

Sumbangan turut diberikan kepada Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kajang sebanyak
RM 35,000, SJKT Dengkil (RM 20,000) dan SJKT Ladang Ampat Tenang (RM 15,000).

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran isteri Menteri Besar, Puan Sri Salbiah Tunut, Ahli Exco Negeri Dr. Xavier Jayakumar dan Ronnie Liu serta isteri masing-masing.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSP), Mohd Sayuthi Bakar, Pegawai Daerah Sepang, Haris Kasim dan Penyelaras DUN Dengkil Borhan Aman Shah.

Categories
SELANGOR

Geran Tanah Taman Murni – MB

SEPANG 4 OGOS : Lebih 100 penduduk sebuah taman di sini menarik nafas lega apabila masalah hakmilik rumah mereka telah diselesaikan dengan pertolongan Kerajaan Selangor.

Rasa gembira terpapar di wajah 114 penduduk Taman Murni apabila mereka mendapat dokumen hak milik individu bagi rumah mereka daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid hari ini.

Salah seorang penerima, S. Rajah, 55 melahirkan rasa terharu dan terima kasih ke atas pentadbiran Kerajaan Negeri yang dilihat cemerlang dalam tempoh empat tahun pentadbirannya.

“Lebih 10 tahun kami turun naik pejabat tanah namun tiada sebarang berita gembira berjaya kami perolehi daripada kerajaan sebelum ini.

“Berbeza dengan Pakatan Rakyat, kami dapat lihat kesungguhan Kerajaan Negeri membela rakyat tanpa kaum dan agama dan saya yakin rakyat Sepang pasti akan buka mata kali ini” jelasnya dengan penuh semangat.

Kawasan perumahan yang berusia lebih 20 tahun itu diusahakan pemaju tanpa sebarang permohonan pecahan tanah untuk penduduk dan ini menimbulkan pelbagai isu berkaitan hak milik.

Kerana itu, walaupun penduduk dapat menduduki rumah, mereka tidak dapat dokumen hak milik terhadap rumah itu.

Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri berusaha menyelesaikan masalah ini bagi membolehkan penduduk memperoleh dokumen hak milik yang sepatutnya menjadi hak mereka.

“Sehingga kini lebih 60 peratus penduduk berjaya mendapatkan geran dan kita yakin jumlah ini akan menjadi 100 peratus dalam masa sebulan dua,” ujar Abdul Khalid.

Turut hadir Exco Negeri, Ronnie Liu, Adun Teratai, Jenice Lee, Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Mohd Sayuthi Bakar serta Ahli-ahli Majlis MPS.

Dalam majlis sama juga, Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) Fasa Dua kepada 29 penerima bagi DUN Sungai Pelek.