Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Najib yang patut tinggalkan politik

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 JUL: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin seharusnya menasihati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan itu wajar dilakukan Khairy memandangkan Najib sudah terpalit dengan rasuah dan kegagalan mentadbir ekonomi negara.

Katanya, pimpinan Umno-BN juga patut berhenti memperdayakan pemikiran rakyat dalam menilai pemimpin.

nik-nazmi“Adakah dengan gesaan seperti ini lebih memudahkan pemimpin Umno-BN untuk terus merompak hasil kekayaan negara? Cukuplah negara kini sudah terpalit pelbagai isu seperti 1MDB (1Malaysia Development Berhad).

“Dengan pelbagai isu menghantui rakyat seperti bebanan kos sara hidup, kenaikan harga barangan, penghapusan subsidi, GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan), rasuah dan penyelewengan duit rakyat.

“Saya yakin pada PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang, rakyat boleh menilai sendiri agar negara tidak lagi ditadbir golongan penyamun dan perompak,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang patut bersara daripada kehidupan politik.

Nik Nazmi berkata, gesaan Khairy itu sepatutnya ditujukan kepada pimpinan partinya sendiri dan bukan parti pembangkang yang digeruni semua.

“Khairy menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Dr Mahathir dan Lim Kit Siang untuk meninggalkan pentas politik.

“Sedangkan semua sedia maklum bahawa ketiga-tiga tokoh ini sememangnya digeruni oleh Umno-BN kerana sering memperjuangkan permasalahan rakyat,” katanya.