Categories
NASIONAL

OP Mega E-kad: 3,014 PATI ditahan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 11 JULAI: Seramai 3,014 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 57 majikan ditahan Jabatan Imigresen dalam OP Mega E-kad di seluruh negara sejak 1 Julai lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali dalam satu kenyataannya berkata, daripada jumlah keseluruhan PATI yang ditahan, warga Bangladesh mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu seramai 1,160 orang, diikuti Indonesia (695), Myanmar (231), Vietnam (116), Thailand (111), Filipina (95) dan bakinya dari negara lain.

“Sepanjang tempoh itu seramai 180 majikan turut diberi notis untuk hadir memberikan keterangan.

“Selain itu seramai 9,320 orang telah berjaya diperiksa dan hasilnya seramai 3,014 PATI dari pelbagai warganegara telah ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen,” katanya.

Mustafar berkata, pihaknya telah memberi tempoh yang secukupnya bagi majikan mendaftarkan pekerja mereka daripada golongan PATI.

“Namun masih ada sesetengah majikan yang tidak mengambil kesempatan ini untuk mendaftarkan pekerja mereka.

“Majikan boleh dikenakan tindakan menerusi Akta Imigresen 1959/63 dan didakwa dibawah empat kesalahan utama iaitu mengikut Seksyen 55A kerana membawa masuk Pati secara tidak sah, Sekysen 55B kerana mengaji Pati, Seksyen 55E kerana membenarkan Pati masuk dan Seksyen 55(1)(d) kerana melindungi parti,” katanya

Sebelum ini Jabatan Imigresen telah membuka Pendaftaran Enforcement Kad (E-Kad) sejak 15 Februari dan telah tamat pada 30 Jun lalu.

=EZY=