Categories
NASIONAL

Perluas Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak ke seluruh negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Mahkamah Jenayah Seksual terhadap Kanak-Kanak perlu diperluas ke seluruh negara dan tidak terhad di Putrajaya sahaja.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata, mahkamah sedia ada hanya mengendalikan kes seksual terhadap kanak-kanak di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Statistik menunjukkan kes ini turut berlaku di negeri lain seperti Johor dan Sabah, maka ia memerlukan pelaksanaannya di peringkat negeri. Banyak kes dilaporkan tetapi mahkamah yang ada hanya urus di negeri tertentu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah sesi jawapan lisan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rohani Abdul Karim, di Dewan Rakyat.

Sebelumnya, Zuraida dalam pertanyaan lisannya menuntut penjelasan menteri berhubung statistik terkini kes jenayah seksual membabitkan kanak-kanak.

zuraida-kamarudinSementara itu, menteri mendedahkan, sebanyak 13,272 kes dilaporkan dengan Johor mencatatkan jumlah kes tertinggi sebanyak 2,089 kes, sejak 2010.

Selangor berada di kedudukan kedua mencatatkan kes seks luar tabii iaitu 235 kes dan pencabulan terhadap kanak-kanak direkodkan 1,052.

Sehubungan itu, Zuraida menuntut Kerajaan Persekutuan mewujudkan garis panduan jelas bagi pengendalian kes berkenaan.

Pada Mac lalu, Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak mula beroperasi di Istana Kehakiman Putrajaya dengan perasmiannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mahkamah berkenaan yang diwujudkan adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia juga di Asia Tenggara bertujuan mempercepatkan tempoh pelupusan kes dan giliran bagi perbicaraan kes jenayah seksual membabitkan kanak-kanak.