Categories
SUKANKINI

PKNS FC buru tiga mata lawan Sarawak, elak zon penyingkiran

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 22 JULAI: Kunjungan ke Stadium Sarawak, Kuching, malam ini, akan digunakan sepenuhnya PKNS FC bagi mengutip tiga mata penuh bagi mengukuhkan kedudukan untuk terus kekal dalam Liga Super, musim depan.

Sungguhpun begitu, cabaran berliku pasti ditempuhi kerana tentangan daripada tuan rumah, Sarawak bukan mudah dan turun dengan misi sama ekoran turut berada dalam kelompok bawah liga.

Selepas 16 perlawanan, PKNS FC mengumpul 15 mata di tangga ke sembilan hasil tiga menang, enam seri dan tujuh kalah manakala Sarawak (10) satu tangga di bawah dengan tiga menang, lima seri dan lapan kalah.

Tentunya, pertemuan malam ini menjanjikan saingan sengit kedua-dua pasukan yang memerlukan kemenangan buat bekalan selesa untuk menghadapi perlawanan seterusnya.

Skuad Semut Merah yang hadir bagi membalas dendam kekalahan 2 – 3 pada pertemuan pertama, sedar mereka tidak boleh kalah dalam perlawanan itu dan ia diakui ketua pasukan, Mohd Fauzan Dzulkifli yang menegaskan pemain berada pada tahap terbaik serta akan mencuba habis-habisan bagi mengelak kekalahan.

PKNS FC mahu menang“Sekiranya kami dapatkan tiga mata, rasa kedudukan PKNS FC selamat sedikit di carta liga disebabkan mata pun tidak berapa jauh dengan Sarawak, hanya satu mata sahaja beza.

“Apa jua terjadi, kami akan cuba habis-habisan untuk membawa pulang sebarang mata, kami tidak mahu kalah, ” katanya bagaimanapun mengingatkan rakan tidak memandang mudah cabaran Bujang Senang.

Untuk rekod, kedu-dua pasukan tewas dalam perlawanan terakhir liga iaitu PKNS FC kalah kepada Pahang (1 – 3) manakala Sarawak tunduk kepadaJohor Darul Ta’zim dengan keputusan sama.

Bagi pengendali baru PKNS FC, Sven Gartung, pertemuan dengan Kuala Lumpur dalam saingan Piala Malaysia, Selasa lalu, berkesudahan seri 0 – 0 menjadi pengukur untuknya merangka strategi selanjutnya untuk memantapkan persembahan pasukan.

Beliau tentu kini mendapat gambaran lebih baik dan bersedia untuk perlawanan dengan Sarawak ini.

“Saya gembira dengan apa dipamerkan pemain (menentang Kuala Lumpur) dengan persembahan berbeza.

“Saya dan pemain tahu apa yang patut dilakukan di mana kini PKNS FC fokus untuk mengelak diri dari zon penyingkiran,” katanya bertekad membantu Semut Merah kekal dalam Liga Super selepas dilantik selaku Ketua Jurulatih.

=EZY=