Categories
SELANGOR

RM1.87 juta kutipan beg plastik caj RM0.20 sen

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 JULAI : Sebanyak RM1.87 juta dikutip peniaga seluruh negeri berhubung pelaksanaan caj RM0.20 sen penggunaan beg plastik di Selangor.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna , Elizabeth Wong berkata, jumlah itu melibatkan kutipan peniaga yang memfailkan laporan perniagaan kepada Kerajaan Negeri bagi tempoh sehingga Mei lalu.

“Setakat Mei, sebanyak RM1,871,547.55 berjaya dikutip peniaga seluruh negeri yang menghantar laporan kutipan caj RM0.20 sen beg plastik itu.

“Sementara itu, jumlah perolehan peratusan kutipan daripada cas berkenaan di pasaraya adalah 63.98 peratus dan premis makananan sebanyak 36.02 peratus,” katanya.

bebas-plastikPada masa sama, Elizabeth berkata, Kerajaan Negeri sudah membelanjakan RM213.678.30 bagi perbelanjaan kempen larangan penggunaan beg plastik sejak ia mula dilancarkan, awal tahun lalu.

Katanya, ia melibatkan jumlah perbelanjaan media sosial, pembelian poster pelbagai bahasa, pembelian banting untuk kempen dan pemberian beg percuma sebagai langkah promosi.

Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri menggalakan peniaga dan persatuan niaga yang mengeluarkan caj beg plastik menghantar laporan peniagaan kepada Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri setakat ini tidak ada perancangan menghukum peniaga yang tidak membuat pendaftaran.

“Namun, untuk tempoh jangka panjang, peniaga gagal hantar laporan itu akan menghadapi kesukaran apabila memperbaharui lesen perniagaan,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Baru, Lee Kee Hiong, pada persidangan penggal kelima Dewan Negeri Selangor ke 13, pagi ini.

Selangor memperkenalkan larangan penggunaan beg plastik dengan mengenakan bayaran 20 sen bagi setiap beg plastik sebagai inisiatif mendidik masyarakat awam mencintai persekitaran hijau.

Kutipan 20 sen berkenaan disalurkan kepada badan kebajikan atau program kepenggunaan serta pemuliharaan alam sekitar.