Categories
NASIONAL

RMM Kerajaan Persekutuan hanya siap 27 peratus

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 31 JULAI: Ahli Parlimen Sandakan, Wong Tien Fatt melahirkan kebimbangan terhadap keupayaan rakyat Sabah memiliki rumah sendiri susulan kelewatan penyiapan projek rumah mampu milik (RMM).

Menurutnya, kebanyakan rakyat Sabah mempunyai pendapatan rendah tambahan mereka memerlukan 11.4 kali ganda daripada pendapatan untuk memiliki rumah pertama.

“Berdasarkan kajian dilakukan Institut Rakyat, 11.4 kali ganda pendapatan diperlukan untuk rakyat Sabah membeli rumah pertama mereka sedangkan harga jualan hampir sama seperti di Kuala Lumpur,” katanya.

Berdasarkan jawapan bertulis yang diberikan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerajaan Persekutuan kini hanya mampu menyiapkan 237,738 unit atau 27 peratus daripada keseluruhan 875,490 unit rumah mampu milik (RMM) sejak penggal pasca PRU-13.

Daripada jumlah itu, 17,665 daripada 72,310 unit atau 24 peratus unit dijanjikan di Sabah sudah disiapkan dalam tempoh berkenaan.

Mengikut statistik seluruh negara, RMM tertinggi sudah disiapkan adalah di Kedah (72 peratus), Pahang (65 peratus) dan Terengganu (47 peratus).

“Kita ingin bertanya kepada Barisan Nasional, berapakah jumlah RMM dijangka berjaya disiapkan dalam tempoh setahun lebih lagi sebelum pilihan raya ini?

“Kita harap pihak kerajaan boleh memberikan jawapan,” katanya.