Categories
GLOBAL

Tak setuju bajet dipotong Ketua Tentera Perancis letak jawatan

PARIS 20 JULAI: Ketua tentera Perancis mengumumkan peletakan jawatan selepas dikecam Presiden Emmanuel Macron kerana membantah pemotongan dibuat ke atas perbelanjaan ketenteraan.

Jeneral Pierre de Villiers berkata, beliau tidak lagi berkeupayaan menerajui pasukan keselamatan itu yang amat penting dalam melindungi Perancis dan rakyatnya, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Kemuncak perselisihan faham antara presiden dan De Villiers, 60, berlaku minggu lalu apabila pemerintah tertinggi tentera itu dalam kenyataan kepada jawatankuasa parlimen, berpegang dengan pendiriannya untuk tidak membenarkan pemotongan sebanyak 850 juta euro (RM4.2 bilion) ke atas perbelanjaan ketenteraan.

Macron kemudian dalam satu wawancara bersama akhbar membalas kenyataan itu dengan berkata: “Saya adalah ketua” sambil menambah, sebarang perubahan hanya akan berlaku jika ketua tentera itu mengubah kedudukannya.

De Villiers dalam kenyataan hari ini berkata, beliau percaya adalah menjadi sebahagian daripada bidang tugasnya untuk menjelaskan mengenai pendiriannya kepada mana-mana ahli politik.

=EZY=