Categories
NASIONAL

Tanah mendap: Dua kereta jatuh ke dalam longkang besar

KUALA LUMPUR 15 JULAI: Penduduk Flat Midah Ria, Taman Midah Cheras, di ibu negara cemas selepas dikejutkan dengan kejadian tanah mendapat berhampiran parkir blok kediaman mereka awal pagi ini.

Kejadian pada kira-kira jam 5 pagi itu turut mengakibatkan dua buah kereta yang diparkir jatuh ke dalam longkang besar yang terletak hampir 100 meter dari blok kediaman itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 6.45 pagi dan tiba di lokasi kejadian 15 minit selepas itu.

DEv3QThUIAAl1mk“Hasil tinjauan mendapati saliran air pecah dalam tanah mengakibatkan tanah mendap dan terhakis. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku,” katanya.

Pemilik kenderaan Wan Fatimah Wan Long, 28, berkata beliau terperanjat melihat kereta Honda Jazz miliknya berada dalam longkang selepas menerima panggilan telefon daripada pengawal keselamatan kira-kira 5.30 pagi tadi.
Jururawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata ketika kejadian terdapat kira-kira lima kenderaan diletakkan di tempat parkir itu bagaimanapun tiga daripadanya tidak terjejas dan sempat dialihkan, manakala sebuah lagi kereta rosak di bahagian belakang dan bawah.

“Saya terima panggilan daripada pengawal keselamatan dan rakan juga telefon suruh saya turun tengok keadaan kereta. Bila saya turun kereta memang sudah teruk,” katanya yang menambah ia merupakan kejadian kedua berlaku sepanjang 12 tahun beliau menetap di flat berkenaan.

 

SUMBER BERITA: BERNAMA
GAMBAR: BERNAMA/ THE STAR