Categories
NASIONAL

Tangki air pecah: Operasi Kompleks Teruntum diarah henti operasi

KUANTAN 23 JULAI: Semua premis perniagaan dan pejabat yang beroperasi di Kompleks Teruntum, di sini, diarahkan menghentikan operasi mereka serta-merta atas faktor keselamatan.

Ia berikutan kejadian tangki air pecah yang menyebabkan struktur bangunan itu rosak hari ini, lapor BH ONLINE.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Abdul Wahab Mat Yassin, berkata keputusan itu dibuat selepas meninjau kerosakan struktur yang berlaku dalam kejadian tengah hari tadi.

“Kejadian ini berpunca daripada runtuhan struktur bangunan menempatkan tangki air di bangunan ini.

“Runtuhan struktur dinding bangunan berpunca akibat tangki pecah dalam kejadian ini, terdapat empat mangsa cedera dan tiga kereta serta 10 motosikal rosak,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau lokasi kejadian, di sini.

Seramai 10 pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Bukit Ubi, Kuantan, terbabit dalam operasi pengosongan bangunan itu.

Mereka turut dibantu pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Abdul Wahab berkata, tempoh penutupan semua operasi di Kompleks Teruntum akan ditentukan kemudian, selepas pemeriksaan lanjut bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang dan pihak pengurusan bangunan berkenaan.

“Arahan ini (penutupan) membabitkan premis perniagaan dan pejabat kerana kita dimaklumkan bekalan air serta sistem penghawa dingin di Kompleks Teruntum tidak berfungsi berikutan kejadian ini.

“Kita juga bimbang jika masalah (runtuhan) struktur dinding bangunan terbabit boleh berulang, ini untuk tujuan keselamatan semua peniaga dan pekerja yang bertugas di bangunan ini,” katanya.

Kompleks Teruntum mula beroperasi pada Januari 1980 dan mempunyai 22 tingkat dengan tiga daripadanya menempatkan pelbagai premis perniagaan.

Difahamkan, kali terakhir pihak pengurusan bangunan itu menukarkan tangki air yang berada di tingkat 4 kompleks itu ialah kira-kira 15 tahun lalu.

SUMBER: BH ONLINE