Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

241 pelajar cemerlang UPSR SJKT dirai

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 23 JULAI: Seramai 241 pelajar cemerlang Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016 lalu, dirai dalam majlis hari ini.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirao berkata, majlis istimewa itu khusus bagi menghargai komitmen tinggi murid, terutama anak pekerja ladang dalam peperiksaan utama itu.

Katanya, 50 murid yang mendapat 8A diberikan RM200 setiap seorang, 72 murid dengan 7A menerima RM150, manakala 110 murid mendapat 6A menerima RM100.

“Walaupun terdapat kemerosotan berbanding tahun sebelum ini, kita tetap meraikan mereka yang cemerlang dan berharap ia memberi dorongan dan semangat untuk semua lebih maju dalam pelajaran.

SJKT1“Kemerosotan disebabkan terdapat perubahan fiasco dan sebagainya pada tahun lalu, namun kita harap ia dapat diatasi pada tahun seterusnya,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR 2016 bagi SJKT Selangor, di sini, hari ini.

Ganabatirao berkata, majlis turut meraikan bekas guru SJKT dan lima tokoh guru bagi menghargai sumbangan kumpulan pendidik itu.

“Ini adalah sesuatu yang julung kali diraikan, khusus bagi memberi semangat kepada guru yang adakalanya merasakan seolah pengorbanan mereka tidak dihargai,” katanya.

Majlis turut menyaksikan sembilan anak pekerja ladang menerima sumbangan keseluruhan RM41,000 menerusi program Bantuan Yuran Pengajian fasa 5 bagi 2017.

Masing-masing menerima antara RM3,000 hingga RM5,000 sebagai bantuan untuk mendaftar ke institusi pengajian tinggi.

=EZY=