Categories
NASIONAL

Tarik balik cadangan potong elaun guru pelatih

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 JUL: Kerajaan Persekutuan digesa menarik semula cadangan pemotongan elaun sara diri dan perjalanan guru pelatih yang menjalani Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pentadbiran Umno-BN dilihat berterusan memangsakan bahagian pendidikan dengan memotong pelbagai belanjawan sama ada di peringkat universiti, sekolah, pelajar mahupun guru.

Katanya, ia jauh tersasar daripada cadangan Pakatan menaikkan gaji guru Malaysia agar setaraf dengan kualiti pendidikan disegani.

nik-nazmi“Beberapa bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sistem pendidikan memerlukan rombakan dan disahut menteri lain termasuk Khairy Jamaluddin.

“Adakah ini reformasi yang dimaksudkan? Adakah dengan menjadikan guru semakin tidak keruan?

“Sumbangan guru di dalam mendidik generasi masa depan di samping membangunkan negara adalah teramat besar dan pengorbanan mereka layak diberikan ganjaran setimpal,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi yang juga Ketua Angkatan Muda KEADILAN berkata, sebarang reformasi pendidikan akan gagal sekiranya peranan guru terus diabaikan.

“Saya gesa Kerajaan Persekutuan menarik semula cadangan itu dan memberi guru pelatih elaun seperti yang dijanjikan.

“Jangan membebankan mereka dengan hutang kerana kegagalan gejala rasuah dan pembaziran menular di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak,” katanya.

guruPada 15 Julai lalu, Kerajaan Persekutuan bercadang memansuhkan elaun sara diri sebanyak RM430 sebulan dan elaun perjalanan sebanyak kurang RM500 setahun bagi guru pelatih yang menjalani PISMP di IPG.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, IPG juga sudah berbincang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) untuk membolehkan pelajar mereka menerima pinjaman PTPTN.

Katanya, ia bagi membolehkan pelajar IPG yang akan menyambung pengajian ke peringkat PISMP mulai Jun tahun depan menerima kemudahan pinjaman wang sara hidup.