Categories
SELANGOR

Wifi Smart Selangor diperluas ke pinggir Bandar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 JULAI: Kerajaan Negeri mensasarkan 4,100 pemasangan Wifi Smart Selangor di seluruh negeri menjelang Disember tahun ini bagi manfaat rakyat.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sasaran itu termasuk penambahan di kawasan pinggir bandar bagi memastikan pelaksanaan dasar berkenaan dinikmati rakyat keseluruhannya.

Katanya, sehingga kini terdapat 3,239 lokasi hot spot wifi Smart Selangor dengan peningkatan 2,981 hot spot, berbanding tahun lalu.

“Jumlah disasarkan lebih tinggi menjelang hujung tahun ini dan ia sedang giat dilaksanakan di kawasan luar bandar bagi memastikan pemasangan wifi tidak hany tertumpu kepada kawasan bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada persidangan penggal kelima Dewan Negeri Selangor (DNS), ke 13, pagi ini.

Pada masa sama, Nik Nazmi berkata, tahap liputan Wifi Smart Selangor membabitkan kawasan bandar kini mencapai 76 peratus.

nik-nazmi-dun

Katanya, kawasan terlibat adalah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

“Pemasangan hot spot disasarkan di kawasan penduduk berkepadatan tinggi membabitkan golongan belia dan tumpuan orang ramai.

“Peratusan jaringan Wifi Smart Selangor di bandar lebih tinggi mengambil kira faktor taburan penduduk di kawasan itu sebanyak 93 peratus,” katanya.

Wifi Smart Selangor adalah perkhidmatan percuma disediakan Kerajaan Negeri untuk dimanfaatkan masyarakat awam di lebih 3,000 hot spot seluruh negeri.

Inisiatif itu dilaksanakan sebagai komitmen Kerajaan Negeri merapatkan jurang digital dan meningkatkan taraf kehidupan komuniti.