Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri naik taraf Wifi luar bandar

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 SEPT: Kerajaan Negeri sedang menambahbaik sistem pembangunan jaringan Wifi percuma bagi kawasan luar bandar.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, Wifi Smart Selangor menampakkan peningkatan prestasi saban tahun, sejak dimulakan pada Disember 2015.

“Kini Kerajaan Negeri sedang membuat liputan tambahan bagi kawasan luar bandar, bagaimanapun tidak dinafikan kegagalan mencapai talian Wifi di kawasan luar bandar kerana kekurangan liputan.

“Untuk tujuan peningkatan sistem rangkaian Wifi ini juga, kerjasama turut dilakukan antara Smart Selangor dan Telekom Malaysia (TM) selaku penyedia rangkaian internet utama di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Burong, Dato’ Mohd Shamsudin Lias, pada sesi soalan lisan berhubung sistem Wifi Smart Selangor yang didakwa masih lemah bagi kawasan luar bandar, di Dewan Annex, di sini.

Isu sama turut dibangkitkan ADN Taman Templer, Mohd Sany Hamzan juga mahu Kerajaan Negeri memberi perhatian terhadap lima kawasan pembangkang bagi meningkatkan tahap jalur lebar Wifi.

Pada masa sama, Loy Sian yang juga ADN Kajang berkata, Smart Selangor juga sudah membangunkan rangkaian digitalnya sendiri walaupun bekerjasama dengan TM.

“Ia bagi membolehkan liputan terus meluas di kawasan luar bandar dan dijangkakan antara 2015 hingga 2020, kita akan selesaikan masalah talian Wifi yang masih rendah,” katanya.

Categories
SELANGOR

Quickwins: 235 kampung bakal terima Wifi percuma

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 JUN : Projek Quickwins bakal diperkenalkan Kerajaan Negeri bagi merancakan lago pembangunan jaringan Wifi percuma, di Selangor.

Exco Pemberdayaan Generasi Muda & Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi, Amirudin Shari berkata, kemudahan itu bakal dinikmati 253 kampung tradisi, di bawah projek baru berkenaan.

“Kemudahan asas perlu dipertingkatan dengan jaringan Wifi perlu segera disediakan kepada 253 kampung yang belum memiliki Wifi percuma.

“Ia akan dilaksanakan melalui projek Quickwins untuk masyarakat desa kekal berhubung dengan perkhidmatan internet,” katanya.

Sebanyak 3,588 perkhidmatan jaringan Wifi Smart Selangor diwujudkan sejak mula dilaksanakan, pada Disember 2015 sehingga Disember 2017.

Perkhidmatan itu menyediakan kelajuan internet minima 1Mbps untuk kawasan dengan sambungan optik fiber dan maksima 1Mbps bagi kawasan jalur lebar ADSL atau rangkaian 3G/4G.

Perkhidmatan itu disediakan bagi merapatkan jurang digital negeri, terutama di kawasan pinggir bandar untuk kemudahan pelajar, golongan berpendapatan rendah dan masyarakat desa.

Categories
RENCANA SELANGOR

Wifi Smart Selangor capai 20.7 juta penggunaan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

Pemerkasaan inisiatif Wifi Smart Selangor yang diperkenalkan Kerajaan Negeri adalah komponen penting dalam pembangunan Smart Digital Eco-System, negara ini.

Usaha itu, sekali gus meletakkan Selangor sebagai sebuah negeri berteknologi dan berdaya saing seiring hasrat Kerajaan Negeri untuk mengaplikasikan pembangunan Smart State menerusi pemberdayaan Internet Of Things.

Inisiatif berterusan itu dilaksanakan secara komprehansif meliputi keperluan kemudahan Wifi Smart Selangor yang turut dinikmati masyarakat bukan sekadar di bandar, namun turut dirasai masyarakat pinggir bandar.

Permulaannya, perkhidmatan wifi percuma mula dilaksanakan sebagai keperluan ‘digital lifestyle’ untuk memastikan rakyat di negeri itu menerima informasi tepat dan bebas.

Keperluan itu disifatkan bersesuaian dengan Enakmen Kebebasan Informasi yang pernah dibentangkan di Dewan Negeri Selangor (DNS), pada 2013.

Hasil keberkesanan itu menyaksikan jumlah penembusan internet yang dulunya hanya mencatatkan pertumbuhan sekitar 23.4 peratus kini mengalami pertambahan mendadak, pada kadar maksima.

Capai 4,000 kawasan hotspot 

Ia menyaksikan hampir 4,000 kawasan hotspot wifi percuma boleh diakses di seluruh Selangor tanpa mengira jurang perbezaan bandar dan pinggir bandar dengan jumlah pengguna berdaftar seramai 916,829 pengguna.

Hasilnya, sebanyak 20.7 juta pengguna dicatatkan sejak pelancaran WiFiSS pada September lalu berdasarkan rekod dikeluarkan Permerbadanan Menteri Besar (MBI).

Lebih membanggakan, hasil dapatan didedahkan MBI mendapati seramai 83 peratus pengguna berpuas hati dengan perkhidmatan itu berdasarkan kepada kajian dijalankan pada 19 Septemberi lalu ke atas 10,000 pengguna.

Pada masa sama, akses tahap liputan Wifi Smart Selangor di kawasan bandar kini sudah mencapai perolehan melebihi 70 peratus, bagi tempoh sehingga penghujung tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sasarannya tertumpu kepada keperluan penggunaan teknologi di kawasan bandar, namun tidak dilupakan sama sekali, di kawasan luar bandar.

“Kerajaan Negeri akan terus menerokai bidang kerjasama pelbagai peringkat bersama gergasi teknologi maklumat global menerusi penggunaan teknologi terkini bagi menghasilkan dasar yang lebih tepat dan berkesan kepada masyarakat bandar dan di luar bandar,” katanya.

Peruntukan RM21.6 juta kukuh perancangan IOT 

Lanjutan pelaksanaan itu dibuktikan menerusi peruntukan jangka panjang yang diumumkan Dato’ Menteri Besar pada pembentangan belanjawan lalu menyaksikan RM21.6 juta disediakan bagi mengukuhkan agenda itu.

Ia meliputi projek pembangunan bagi kemudahan Infrastruktur Digital, Public Citizen Psrtnership (PCP) Pembangunan Epicentre dan Accelerator serta Pembangunan Silbus Internet Of Things yang menjurus kepada perkhidmatan wifi.

“Dengan meningkatnya mobiliti dan ‘connectivity’, Selangor akan menerajui pelan transformasi digital untuk membina negeri pintas, pantas dan ‘more connected’ bersama rakyat seluruh negeri,” kata Mohamed Azmin.

Sementara itu dilaporkan, capaian perkhidmatan jaringan Wifi Smart Selangor kini sudah mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang diletakkan Kerajaaan Negeri.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi serta Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perkembangan positif itu memperlihatkan komitmen Kerajaan Negeri meningkatkan akses teknologi kepada seluruh rakyat.

“Tumpuan pemasangan wifi percuma ini dibuat menerusi keperluan dan permintaan khususnya di kawasan bandar yang memerlukan penerokaan teknologi kepada pelabur serta komuniti setempat,” katanya.

Sasar jaringan percuma luar bandar 

Justeru, bagi memastikan perkembangan jalur lebar itu mampu memenuhi keperluan pengguna, maka MBI komited menambahbaik liputsan di tiga kawasan paling rendah akses perkhidmatan itu.

Kawasan terbabit termasuk di Majlis Daerah Kuala Selangor, Majlis Daerah Hulu Selangor dan Majlis Daerah Kuala Selangor.

Seterusnya, sasaran lain termasuk permasangan kemudahan wifi Percuma di 100 Bas Smart Selangor serta meneroka penyelesaian alternatif di kaawasan luar bandar bagi menampung kemampanan keperluan wifi, di seluruh Selangor.

Hasilnya, kemudahan Wifi Smart Selangor adalah inisiatif jangka panjang yang berjaya merapatkan jurang digital kepada masyarakat untuk lebih bermaklumat.

Keberkesanannya akan terus meletakkan Selangor sebagai sebuah negeri berteknologi dan maju seiring keperluan Internet of Things kini.

Categories
SELANGOR

Wifi Smart Selangor diperluas ke pinggir Bandar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 JULAI: Kerajaan Negeri mensasarkan 4,100 pemasangan Wifi Smart Selangor di seluruh negeri menjelang Disember tahun ini bagi manfaat rakyat.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sasaran itu termasuk penambahan di kawasan pinggir bandar bagi memastikan pelaksanaan dasar berkenaan dinikmati rakyat keseluruhannya.

Katanya, sehingga kini terdapat 3,239 lokasi hot spot wifi Smart Selangor dengan peningkatan 2,981 hot spot, berbanding tahun lalu.

“Jumlah disasarkan lebih tinggi menjelang hujung tahun ini dan ia sedang giat dilaksanakan di kawasan luar bandar bagi memastikan pemasangan wifi tidak hany tertumpu kepada kawasan bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada persidangan penggal kelima Dewan Negeri Selangor (DNS), ke 13, pagi ini.

Pada masa sama, Nik Nazmi berkata, tahap liputan Wifi Smart Selangor membabitkan kawasan bandar kini mencapai 76 peratus.

nik-nazmi-dun

Katanya, kawasan terlibat adalah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

“Pemasangan hot spot disasarkan di kawasan penduduk berkepadatan tinggi membabitkan golongan belia dan tumpuan orang ramai.

“Peratusan jaringan Wifi Smart Selangor di bandar lebih tinggi mengambil kira faktor taburan penduduk di kawasan itu sebanyak 93 peratus,” katanya.

Wifi Smart Selangor adalah perkhidmatan percuma disediakan Kerajaan Negeri untuk dimanfaatkan masyarakat awam di lebih 3,000 hot spot seluruh negeri.

Inisiatif itu dilaksanakan sebagai komitmen Kerajaan Negeri merapatkan jurang digital dan meningkatkan taraf kehidupan komuniti.

Categories
SELANGOR

WiFi Smart Selangor perlu diperluas seiring permintaan tinggi

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 NOV: Cadangan pemasangan 2,500 hotspot WiFi Smart Selangor menjelang Disember tahun ini di sambut baik.

Lee Kee Hiong (DAP-Kuala Kubu Bahru), berkata Kerajaan Selangor perlu memperluaskan kemudahan wifi percuma itu di masa hadapan.

Katanya, usaha terbabit perlu dilakukan secara berperingkat seiring negara maju seperti Singapura.

Lee Kee Hiong“Pemasangan kemudahan itu perlu dipertingkat memandangkan permintaaan wifi percuma adalah tinggi.

“Singapura sudah memasang 10,000 hotspot dan 10,000 hotspot lagi pada 2016 bagi mencapai jumlah 20,000 hotspot.

“Populasi penduduk Selangor agak sama dengan Singapura. Maka, jumlah hotspot WiFi Smart Selangor tidak boleh jauh ketinggalan dengan jumlah hotspot Wireless@SG,” katanya.

Kee Hiong berkata, Kerajaan Negeri juga perlu memilih operator berkelayakan bagi menjamin kemudahan itu sentiasa berfungsi baik demi menjaga imej Smart Selangor.

WIFI Selangorku (7)“Saya juga menyeru Kerajaan Pusat membelanjakan RM1.2 billion untuk tambah baik infrastruktur telekomunikasi pada 2016.

“Ia membabitkan semua kawasan di Selangor supaya kelajuan WiFi Smart Selangor boleh mencapai 30 Mbps,” katanya.

-nR-