Categories
GLOBAL

500 titik panas dikesan di Kalimantan Tengah

JAKARTA 23 OGOS: Wilayah Kalimantan Tengah di Indonesia merupakan yang terbaru mengisytiharkan darurat terhadap kebakaran hutan dan tanah, demikian menurut Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) dalam satu kenyataan.

Portal berita Channel NewsAsia memetik BNPB berkata, wilayah tersebut menguatkuasakan darurat bencana pada 1 Ogos lalu dan akan berakhir pada 14 Oktober depan.

Sebelum ini, gabenor dari lima wilayah lain telah mengumumkan perintah darurat bagi membantu usaha memadamkan kebakaran hutan semasa musim kering tahun ini.

Lima wilayah itu terdiri daripada Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah.

Keadaan darurat membolehkan pentadbiran tempatan meminta bantuan pemerintahan pusat bagi menangani kebakaran kecil sekali gus menghalangnya daripada terus merebak.

Sementara itu, bilangan titik panas turut bertambah di seluruh kepulauan Indonesia.

BNPB berkata, pihaknya mengesan keseluruhan 538 titik panas atau kebakaran hutan setakat pagi semalam dengan kebanyakannya tertumpu di Kalimantan Barat dan wilayah Papua.

Terdapat 193 titik panas di Kalimantan Barat, 143 di Papua dan empat di Kalimantan Tengah.

“Bilangan sebenar titik panas mungkin lebih banyak. Ini kerana satelit Terra dan Aqua tidak dapat mengesan sebilangan kawasan yang dianggap sebagai titik buta seperti Aceh, Jambi, Riau, Sumatera Barat dan Sumatera Utara,” kata jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho.

Katanya, BNPB telah mengerahkan sebanyak 21 buah helikopter untuk melakukan operasi bom air di kawasan kebakaran yang sukar ditembusi.

Setakat ini, sekitar 20,000 hektar tanah telah musnah akibat kebakaran hutan di Indonesia.

SUMBER: AGENSI