Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

72% puas hati bukti rakyat buat pilihan tepat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 OGOS: Kajian 72 peratus responden Selangor yang berpuas hati terhadap prestasi keseluruhan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri membuktikan pemilihan tepat rakyat ke atas Kerajaan Negeri, sejak 2008.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei berkata, kejayaan itu tidak datang bergolek, malahan ia hasil perancangan strategik dalam menyediakan khidmat terbaik kepada rakyat.

“Sokongan ini bukan datang begitu sahaja. Ia adalah hasil perancangan strategik bagi membaiki khidmat sistem penyampaian kepada rakyat yang berurusan dengan pihak Kerajaan juga PBT,” katanya kepada SelangorKini.

shuhaimiPada masa sama, Shuhaimi menggesa supaya hasil kepuasan kajian itu dijadikan inspirasi kepada semua pihak untuk bekerja dengan lebih baik.

“Keupayaan mencapai kepuasan 72 peratus ini masih boleh dibaiki pada masa akan datang dengan meningkatkan tumpuan dan fokus pada sektor lain yang dekat dengan keperluan rakyat.

“Walaupun kajian kepuasan itu memberangsangkan, kita akan terus berusaha lagi supaya tapak sokongan ini kekal dan terus meningkat,” katanya.

Terdahulu, kajian Merdeka Centre yang bermula 23 Januari hingga 29 Jun lalu mendapati 72 peratus atau 8,640 responden yang mewakili penduduk Selangor menyatakan kepuasan mereka terhadap prestasi keseluruhan Kerajaan Negeri dan PBT.

Minggu lalu, dalam sidang media, Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, hasil kajian itu meningkat pada tahun ini berbanding 2015 iaitu 67 peratus.

Pada masa sama, Hian Wah berkata, kajian itu juga mencatatkan kadar kepuasan 74 peratus dengan prestasi semua 12 majlis tempatan di Selangor berbanding kadar 63 peratus, pada tahun 2015.

Kaji selidik itu meninjau 1,000 penduduk dari 11 PBT dan 1,001 penduduk dari Majlis Perbandaran Subang Jaya, namun tiada kaji selidik dijalankan, tahun lalu.