Categories
NASIONAL

Akur, namun yakin wujud ruang muafakat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 OGOS: Walaupun Majlis Presiden Pakatan Harapan (Pakatan) mengesahkan tiada lagi rundingan membabitkan gabungan itu dengan mana-mana parti politik, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali percaya masih wujud ruang ke arah permuafakatan.

Naib Presiden Pakatan itu berkata, usaha permuafakatan akan diteruskan sehingga pertimbangan akhir dibuat sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) membabitkan persetujuan semua pihak.

“Keputusan ini kita terima dan akan melaksanakan gerak kerja membina jentera bagi PRU14, selaras keputusan Majlis Pakatan.

“Namun, saya masih boleh bercakap dengan sesiapa pun (perbincangan muafakat) ke arah itu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Kemerdekaan Peringkat Selangor, di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, malam tadi.

Terdahulu, Pakatan dalam kenyataan bersama pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan tiga timbalan presiden iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu memaklumkan rangka strategi berdepan kemungkinan PRU giat dilaksanakan.

AZMIN ALiIni termasuk strategi jika berlaku pertembungan dengan parti politik pembangkang dalam usaha menumbangkan Umno-Barisan Nasional, pada PRU-14.

Untuk tempoh kini, pemuafakatan gabungan parti politik pembangkang kekal mengikut mandat rakyat dalam PRU-13 lalu yang menyaksikan Umno-BN gagal memecah populasi undi Pakatan di Selangor.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin turut menafikan spekulasi negatif media yang melaporkan kegagalannya hadir, pada mesyuarat Pakatan, baru-baru ini.

“Saya ada tugas lain,” katanya ringkas.