Categories
SELANGOR

Perpaduan tonggak kecemerlangan negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 OGOS: Kemerdekaan bukan hanya bermaksud bebas daripada cengkaman penjajah tetapi iltizam membina semula negara yang demokratik, adil dan inklusif.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pemahaman sebenar terhadap aspek perpaduan nasional perlu dipertahankan setiap kumpulan etnik dan agama.

Beliau berkata, ia sebagai komitmen untuk memastikan prinsip perpaduan itu kekal subur.

“Ini semua bukan impian tetapi sasaran sebenar yang boleh dan patut diusahakan rakyat Malaysia dengan keberanian kepimpinan yang mendahulukan kepentingan negara.

“Kita seharusnya berikrar untuk menumpukan kehidupan dan kerja ke arah usaha membina masa depan lebih baik untuk anak kita dan generasi terkemudian daripada mereka.

“Kita tidak harus berpuas hati dengan apa yang ada tetapi sentiasa cuba membawa negara ke peringkat lebih baik,” katanya dalam kenyataan sempena perutusan kemerdekaan ke-60.

Nik NazmiMemetik kata Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman; “…mengekalkan keamanan yang adil antara semua negara”, Nik Nazmi berkata, komitmen itu mampu membina negara lebih baik.

Katanya, ia bertujuan membina ekonomi maju bukan hanya untuk berdepan cabaran globalisasi dan teknologi komputer tetapi membentuk peluang serta mobiliti sosial kepada semua rakyat Malaysia.

“Pendidikan berkualiti tinggi, pekerjaan dan perumahan boleh dicapai semua serta tidak hanya menjadi impian sukar. Sebuah negara dengan bakat yang ada dimanfaatkan bersama ganjaran setimpal, inovasi juga pemikiran maju diraikan.

“Tidak dilupakan juga ketinggian undang-undang, tatakelola kerajaan yang baik, daya saing, kebertanggungjawaban, ketelusan serta kebebasan institusi awam dipertahankan pemegang kuasa juga orang biasa,” katanya.