Categories
GLOBAL

Arab Saudi beri akses jemaah Qatar

RIYADH, 18 OGOS: Kerajaan Arab Saudi akan membuka sempadan Salwa bagi membolehkan jemaah haji dari Qatar diberi akses mengerjakan Rukun Islam Kelima musim ini tanpa memerlukan kebenaran elektronik.

Agensi berita Saudi, semalam turut melaporkan Pemerintah Saudi, Raja Salman Abdulaziz al Saud turut berbesar hati menaja jemaah haji dari Doha pada musim ini.

“Baginda menitahkan jet peribadi milik Saudi Airlines ke Lapangan Terbang Qatar untuk membawa kesemua jemaah,” menurut laporan itu lagi.

Di bawah perintah diraja sama, jemaah dari Doha itu akan dibawa ke Makkah dari Lapangan Terbang Raja Fahad dan Lapangan Terbang Ihsaa di timur Riyadh.

Sementara itu, Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman al Thani turut menyambut baik keputusan itu.

Bagaimanapun, beliau berpendapat haji tidak wajar dipolitikkan dan langkah itu juga perlu merangkumi penarikan semula sekatan politik serta ekonomi ke atas negara tersebut.

Lintasan sempadan Salwa ditutup selepas Saudi, Mesir, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu memutuskan hubungan diplomatik serta dagangan dengan Qatar yang didakwa menyokong keganasan pada 5 Jun lalu.

Bulan lalu, kerajaan membenarkan rakyat Qatar mengerjakan haji, namun mereka dikenakan sekatan termasuk penerbangan dalam perjanjian dengan Saudi.

al-Jazeera