Categories
NASIONAL

Azmin fokus rangka permuafakatan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 28 OGOS: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali optimis untuk meneruskan rangka permuafakatan rakan politik seiring komitmen menumbangkan Umno-Barisan Nasional (BN), di Putrajaya.

Beliau berkata, fokus perbincangan kekal diteruskan ke arah permuafakatan dan rangka kerja secara bersama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Fokus kita untuk melihat bagaimana boleh kerjasama secara efektif dengan semua pihak (direalisasi) bagi menghadapi PRU-14.

AZMIN ALI (1)“Perkara itu sedang diteliti kerana rakyat menunggu untuk melihat kekuatan baru dalam kepimpinan negara, pada hari ini,” katanya.

Beliau pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penyelenggaraan Pasca Penutupan 3 Tapak Pelupusan Sanitari, Pelancaran Sistem E-World dan Coffee Table Book di Air Hitam Landfill Park, pagi tadi.

Sebelum ini, Mohamed Azmin berkata, penyatuan gabungan pembangkang membolehkan tampuk kepimpinan negara beralih kuasa kepada PAKATAN.

Peralihan kuasa itu didakwa memungkinkan perolehan undi lebih besar untuk menawan Putrajaya daripada Kerajaan Umno-BN.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin turut mengulas kenyataan pimpinan politik berhubung langkah perbicangan ke arah usaha permuafakatan itu di peringkat nasional.

Beliau berkata, pimpinan politik perlu berpegang kepada prinsip dan mandat yang diamanahkan rakyat pada PRU lalu untuk mentadbir kerajaan walaupun wujudnya perbezaan pandangan.

“Kepimpinan membawa maksud, kita perlu mempunyai keupayaan untuk menguruskan perbezaan pandangan dan pendekatan dengan bijaksana juga tertib,” katanya.