Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan Selangor 2018: Fokus pengurusan sisa pepejal

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 OGOS: Kerajaan Negeri bercadang memperluaskan lagi operasi dan pengurusan sisa pepejal oleh KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) itu dilihat berjaya menguruskan sisa pepejal dengan sangat baik sejak mula beroperasi pada Julai 2016.

Katanya, ia termasuk mengurangkan lambakan aduan daripada penduduk sehingga lebih 90 peratus.

ean-yong“Kita akan teruskan rancangan untuk KDEBWM mengambil alih PBT lain agar kerja pengurusan sisa pepejal sama ada sisa domestik atau pembersihan awam berjalan secara lebih sistematik dan efisyen.

“Ia juga sebagai respon kepada kajian kepuashatian rakyat Selangor yang meningkat, namun mahu Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada kerja pembersihan, infrastruktur awam serta pencegahan jenayah,” katanya kepada Selangor Kini.

Terdahulu, kajian Merdeka Centre yang bermula pada 23 Januari hingga 29 Jun lalu mendapati 72 peratus atau 8,640 responden mewakili penduduk Selangor menyatakan kepuasan mereka terhadap prestasi Kerajaan Negeri dan PBT.

Pada Julai 2016, KDEBWM mula mengambil alih pengurusan sisa pepejal di Majlis Perbandaran Klang (MPK) dengan hampir 800 aduan diterima, dan berjaya menurunkan sehingga tujuh aduan sahaja pada Jun lalu.

KDEBWM KOMPAKTOR (1)Pada Mac lalu, syarikat itu kemudiannya diberi tugas mengambil alih pengurusan sisa pepejal di Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Pada awal perkhidmatan, aduan di MPS mencecah sehingga 1,249 aduan, namun menurun kepada 85 pada Julai lalu sementara di MPAJ aduan menurun kepada enam, daripada 227 yang dicatatkan pada Mac.