Categories
SELANGOR

Promosi Kuala Selangor sampai ke negara matahari terbit

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 28 OGOS: Produk pelancongan Kuala Selangor bakal dipromosikan di Jepun menerusi ‘JATA Tourism Expo Japan 2017’ yang dijadual berlangsung pada 21 hingga 24 September ini.

Yang DiPertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, pihaknya dengan Tourism Selangor antara lain akan mempromosikan destinasi menarik di daerah itu termasuk tempat bersejarah dan destinasi unik.

Azhar MDKSKatanya, ia termasuk Bukit Melawati, Kelip-kelip Kampung Kuantan dan tarikan terbaru, Permatang Angsa yang tular dengan fenomena ‘Salar De Uyuni’ (pantulan imej seakan cermin).

“Kita selalu terlibat mempromosi bersama Tourism Selangor dan inilah terbesar ke Jepun yang menghimpunkan pemain industri pelancongan seluruh dunia.

“Kita juga ada kerjasama dengan persatuan homestay di sana, mereka akan datang ke sini pada hujung bulan ini, dan kita akan melakukan lawatan balas pada bulan hadapan ketika expo berkenaan,” katanya kepada Selangor Kini.

Mohd Azhar berkata, Kuala Selangor menerima lebih sejuta pelancong dalam setahun dan merupakan antara penyumbang utama pelancongan Selangor.

“Secara puratanya Selangor menerima kira-kira lima ke enam juta pelancong setahun, dan Kuala Selangor sahaja tarik lebih 1 juta.

“Dengan sokongan Tourism Selangor, Kerajaan Negeri dan pihak berkepentingan lain, Kuala Selangor diyakini akan terus maju sebagai destinasi pilihan pelancong di negeri Darul Ehsan ini,” katanya.