Categories
SELANGOR

Bukit Broga diwartakan kawasan rekreasi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 19 OGOS: Kerajaan Negeri mewartakan Bukit Broga sebagai kawasan rekreasi seperti diperuntukan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara dengan Setiusaha Kerajaan Negeri (SUK) sebagai Pegawai Pengawal dan diselenggara Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Elizabeth Wong berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada Khamis baru-baru ini.

“Pada masa sama, lot tanah Sakai Land Fruit Trees dan Sakai Dusun yang jumlah keseluruhan kawasannya seluas 31 ekar seperti catatan pada Pelan Akui 18083 dikekalkan bagi kegunaan komuniti Orang Asal,” katanya.

Elizabeth Wong berkata demikian pada Sidang Media Penutupan Rasmi Bukit Broga yang diadakan di tapak meletak kenderaan di kaki bukit berkenaan di sini, semalam.

Jelasnya, Kerajaan Negeri komited memulihara alam semula jadi di Bukit Broga disamping menjaga kepentingan masyarakat Orang Asal kawasan terbabit.

IMG_1174Terdahulu pada sidang media sama, Elizabeth Wong mengumumkan Bukit Broga secara rasmi ditutup semalam bagi memberi laluan kerja pemulihan ekoran kesan penerokaan haram.

Penutupan itu dijalankan sehingglah kerja pemulihan selesai sepenuhnya yang dijangka memakan masa selama tiga bulan.