Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pelaburan RM2 bilion dari Eropah pilih Pulau Indah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali akan mengetuai delegasi ke Eropah minggu hadapan bagi memeterai perjanjian persefahaman berkenaan pelaburan, pada 24 Ogos ini.

Mohamed Azmin berkata, perjanjian pelaburan bernilai lebih RM2 bilion itu memilih Pulau Indah, Klang sebagai destinasi pelaburan baru.

“Saya mengalu-alukan pelbagai jenis pelaburan yang datang ke negeri ini, kita didatangi Duta-duta besar dari negara ‘superpower’ yang berminat melabur di Selangor.

Azmin Kongres“Baru-baru ini, Duta-duta besar ini hadir ke pejabat saya membincangkan banyak perkara khususnya mengenai pelaburan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Tabung Inisiatif Komuniti Selangor dan Makan Malam Bersama Sukarelawan Selangor di Midlands Convention Centre, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, selain Eropah, Kerajaan Negeri juga akan memeterai perjanjian pelaburan bersama negara Jepun tidak lama lagi nilai pelaburan RM1.2 bilion di Kuala Langat.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, langkah itu membolehkan golongan belia diberi peluang pekerjaan dalam bidang kemahiran khususnya teknologi dan kejuruteraan.

“Kerajaan Negeri sedang berganjak untuk menyediakan pelbagai jenis bidang pekerjaan kepada anak muda.

“Kita tidak mahu lambakan pekerja asing di negeri ini. Kita mahu industri berteknologi tinggi memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda,” katanya.

Dijangkakan, pelaburan besar itu membabitkan industri Bioteknologi yang giat dibangunkan Kerajaan Negeri menerusi Selangor Bio Bay (SBB) ketika ini.

Selain SBB, Pulau Indah turut membangun dalam industri halal antarabangsa.

Awal Ogos ini, pejabat Dato’ Menteri Besar turut menerima kunjungan Duta Sweden ke Malaysia, H.E. Dag Juhlin Dannfelt dan Duta Switzerland ke Malaysia, H.E. Michael Winzap serta Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, H.E. Kamala Shirin Lakhdir.