Categories
SASTERA

Cermin Jari

Oleh Abdullah Hussaini Mohd Ghazali

ISTERINYA sudah keluar untuk bekerja dan anaknya ke sekolah. Tinggallah dia berseorangan di rumah, di meja makan sambil menyapu mentega kacang pada roti putihnya. Dia menggigit roti itu dan mengunyah perlahan sambil tangan kirinya sibuk meneliti peti mel elektronik dalam telefon pintarnya. Ada beberapa mel yang baru sampai dan dibukanya dengan perasaan serba galau.

Yang pertama daripada editor sebuah surat khabar.

Salam, maaf ditolak. Harap maklum.

Dia merengus marah. Giginya berlaga dalam mulut yang dipenuhi cebisan roti putih. Air teh kosong diteguknya sekali terus.

Apa ini? Sekadar penolakan tanpa alasan. Ini tidak masuk akal. Dia arif benar dengan surat khabar itu. Saban hujung minggu karya yang disiarkan adalah hasilan daripada orang yang sama saja. Orang itu, orang ini dan mereka-mereka jugalah yang pada hujung tahun akan naik ke pentas, menjulang hadiah sastera. Pada waktu tertentu dalam surat khabar yang sama beberapa pengkritik akan menulis mengenai karya-karya yang monotoni, jemu dan tiada sebarang angin perubahan. Heh, dia mencebik bibir, menyampah dengan kebiasaan itu. Bertitik-tolak daripada kejelikannya terhadap pengulangan realiti itu dia dengan bersungguh mengarang sekian banyak sajak dan menghantarnya ke setiap surat khabar di dalam negara ini. Tapi tidak pernah penghantaran sajaknya melalui peti mel elektonik itu mendapat balasan. Dan kali ini ia berbalas, berupa satu penolakan yang terlalu ringkas. Dia tidak dapat terima itu.

Tidak mengapa, fikirnya. Dia masih ada surat khabar lain yang belum memberi ulasan berkenaan karyanya. Lagi pula dia bukan takat menulis puisi saja. Dia juga menulis beberapa manuskrip novel dan sudah dihantar. Dia membuka satu mel elektronik. Ia daripada editor syarikat penerbitan novel.

Hai, berkenaan manuskrip yang dihantar, elok andai encik memberi perhatian pada pembinaan watak yang pada pandangan saya, celaru karakternya. Begitu juga dengan perkembangan plot yang lemah dan terlalu banyak sub-plot yang terkeluar daripada naratif cerita. Diharap encik dapat menambah baik manuskrip itu dan hantar semula.

Dia menghela nafas kasar. Kemarahan bersimbah pada perasaan kecewanya. Apa ini? Editor ini sangat tolol. Manuskrip novelnya adalah karya agung dan sempurna. Semua struktur ayatnya satu hari kelak, pada masa hadapan, pastinya menjadi fragmen yang akan dikenang segenap umat. Bait yang ditulis sudah cukup sempurna dan jalan ceritanya mengesankan. Mana mungkin dia akan mengubahnya. Adakah editor ini meletakkan mata di kepala lututnya? Mungkin editor ini masih hingusan dan buta seni. Mungkin dia perlu bersemuka dengannya dan menghamburkan satu pidato sastera padanya.

Beberapa minit kemudian tekanan mulai menggunung, di kepala dan pundak benaknya yang berseribat rancu. Mel elektronik yang lain semuanya memberitakan hal yang sama, penolakan karya-karyanya. Dia marah, dia sedih dan gelojak perasaan itu berombak dalam dadanya yang bidang. Cicak-cicak yang sering bercerit pun diam melihat kemarahan matanya yang memerah, tikus-tikus yang acap berdecit pun lari masuk semula ke lubang gerun melihat tona wajahnya yang tegang.

Dia menghubungi semua syarikat penerbitan dan surat khabar yang menolak karyanya dan memberitahu supaya diaturkan pertemuan dengan editornya. Dia sudah tidak tahan lagi. Dia akan menemui setiap satu daripada mereka.

  • Ya, ha? Oh jadi mereka orang yang sama? Semua editornya satu orang saja? Oh. Biar betul? Esok? Rumah saya? Ya, boleh. Baiklah, terima kasih.

Aneh. Sangat aneh. Semua karyanya selama ini dinilai dan disunting oleh orang yang sama. Lebih anehnya nama mereka berdua pun sama. Perlahan-lahan semacam air jernih yang mengalir perlahan melalui anak sungai yang kecil, dilatari paya yang ditumbuhi rumput segar, ratusan burung layang-layang yang meluncur laju dan suasana pagi yang damai, perasaan tenteram mendakap jiwanya. Esok dia akan bertemu editor bernama sepertinya. Esok segalanya akan terlerai.

**

Pertengahan pagi yang tenang dan dia dengan perasaan tidak sabar, menunggu di ruang tamu. Kemudian pintu diketuk dan salam diberi.

  • Saya di sini, kata suara itu.

Wah suara pun sama, fikirnya.

  • Masuk, dia membalas.

Di ruang tamu, di atas kerusi rotan dia terbeliak mata ketika berdiri dan menyalami editor. Wajahnya saling tak tumpah, pakaiannya dan perwatakannya tiada yang berbeza. Dia memandang editor itu dengan cermat. Matanya, jari-jemarinya, kedut di wajahnya dan kuku kakinya, semuanya sama. Tidak ada perbezaan antara mereka berdua.

  • Saya hendak cakap, cukuplah, jangan tulis langsung apa-apa. Awak fikir awak bijak? Janganlah, awak hanya seorang lelaki yang bercita-cita tetapi ianya tak akan berlaku. Awak tak pernah ke kelas sastera, awak pandai membaca tetapi penulisan bukanlah bidang awak. Kan awak dah kerja bagus sebelum ni? Mengapa gatal-gatal berkeinginan menjadi penulis? Ianya bukan bidang awak. Tengok tulisan awak, buruk dan tidak kena. Canggung dan bercempera. Andai diterbitkan pun, saya tahu, pasti tidak akan laku. Tidak akan ada orang baca pun. Rugi saja. Buat malu. Cukuplah. Berhentilah.

Usai mengucapkannya, editor itu terus meninggalkannya seorang diri dengan matanya terkebil-kebil. Kata-katanya pahit tapi dia semacam mahu mengakui kebenaran kata-kata itu. Lama dia berhadapan dengan komputer peribadinya tanpa berbuat apa-apa. Dia termenung dan melopong. Fikirannya kosong. Satu jam kemudian alarm pagi berdering lagi. Dia lekas-lekas melihat paparan skrin komputer. Baharulah dia tersedar yang dia belum menulis apa-apa lagi sejak dia mengatakan pada dirinya yang dia mahu menjadi penulis.