Categories
SASTERA

CATATAN YANG DILIPAT MENJADI KAPAL TERBANG KERTAS LALU DILUNCUR DARI TINGKAT LAPAN SEBUAH PANGSAPURI

CATATAN YANG DILIPAT MENJADI KAPAL TERBANG KERTAS

LALU DILUNCUR DARI TINGKAT LAPAN SEBUAH PANGSAPURI

(dan ia tidak mahu dijumpai lagi)

 

Cita-cita memintas matahari setiap pagi. Di kota ini

ia mahu menjadi fajar. Menepis burung dari sarang.

Menyalakan mentol kamar dan meredupkan lampu jalan.

 

Ia mengejutkan semua dari tidur, tetapiĀ  tak pernah

menunggu sesiapa. Di kaki lima mimpi-mimpi

kecil belum sempat dikucup dan dilipat.

Gegas pedestrian memijak, sebelum dihabisi

oleh petugas bandaran.

 

Kota adalah desa-desa yang bersembunyi

di dalam uniform kerja. Dalam poketku masih ada

anak kecil yang tidak mahu meninggalkan

zaman nakal (juga tiga keping not seringgit

untuk mengejar tren jam enam). Ketika kemarau

menjilati dahi kota, luka dan debunya bertompokan

di keningku. Dalam dada, hujan dari ciuman ibu

belum reda.

 

Aku membesar dari mata ibu. Dan menjadi

kanak-kanak di dada ayah. Memilih kota adalah

sebatang kara. Seperti jam yang enggan menjadi masa.

Ia terlalu berdosa apabila trafik celupar

dan tergesa-gesa. Nostalgia tercicir, digilis

dan mengotorkan, serupa lecah di jalan raya.

 

Menjadi kota adalah sepucuk surat tanpa dari

atau kepada; biografi yang telah selesai

sebelum sempat dituliskan. Uh! Bagaimana

membezakan tangis dan ketawa ketika ia

hanya suara yang mendendami cerita.

 

Kebisingan kota ialah telur-telur yang mengeramkan

kesunyian. Menetaskan aku. Setinggi-tinggi

pencakar langit hanya souvenir kaca

dalam glob salji di tapak tanganku.

 

FAHD RAZY

Bandar Baru Bangi