Categories
SELANGOR

DUN Batu Caves terima dewan serbaguna baru RM250,000

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BATU CAVES : Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Caves menerima sebuah dewan serbaguna baru dengan kos pembinaan RM250,000 bagi memberikan kemudahan kepada penduduk setempat.

Sebagai simbolik, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turun padang merasmikan kemudahan infrastruktur terbaru di kawasan berkenaan.

Majlis Perasmian turut disaksikan Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan terbabit, Amirudin Shari yang juga Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan.

Difahamkan, dewan berkenaan siap dibina April lalu sebagai inisiatif DUN Batu Caves bagi meningkatkan akses kemudahan komuniti.

Amirudin dalam ucapan perasmiannya berkata, pembangunan dewan berkenaan boleh digunakan bagi tujuan penganjuran program kemasyarakatan, aktiviti riadah dan sukan.

“Diharap dewan ini boleh digunakan sebaiknya untuk tujuan pembangunan kemudahan setempat warga perumahan di kawasan ini.

“Kedudukannya yang berdekatan dengan taman perumahan, padang awam dan akses infrastruktur lain memudahkan lagi jaringan aktiviti setempat,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri optimis lebih banyak fasiliti dan kemudahan awam dibangunkan di kawasan penempatan penduduk seluruh negeri.

Pelaksanannya diyakini mampu direalisasikan menerusi komitmen pihak berkuasa tempatan (PBT) dan DUN setiap daerah.