Categories
SELANGOR

E-World 2 mudah proses dokumentasi sisa pepejal semua PBT

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 10 DIS: Sistem aplikasi E-World 2 yang dibangunkan Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) berupaya memudahkan urusan rekod, rujukan dan dokumentasi pengurusan sisa pepejal yang dilupuskan, di bawah seliaan anak syarikat Kerajaan Negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia akan diselaraskan dan digunapakai semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Selangor dan kontraktor dalam urusan pendaftaran.

Katanya, melalui sistem itu, semua urusan pendaftaran dapat dikendalikan dengan lebih berkesan, sekali gus mengurangkan penggunaan kertas dan pengisian borang.

“Pada masa sama, ia juga akan meningkatkan kelancaran sistem ‘biling’ dan pemantauan ‘tracking’ yang boleh digunapakai untuk meningkatkan perkhidmatan di peringkat PBT dan kontraktor.

“Saya bangga dengan usaha Worldwide Holdings dalam mewujudkan sistem pendaftaran secara dalam talian (On Line) yang memudahkan urusan pendaftaran dan pemantauan yang perlu dibuat oleh PBT dan Kontraktor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama (Joint Development Agreement) antara Worldwide Holdings Berhad dan Western Power Clean Energy Sdn Bhd serta Pelancaran Sistem Aplikasi E-World, di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, pengenalan sistem terbabit juga seiring dengan matlamat Kerajaan Negeri ke arah merealisasikan agenda Smart Selangor yang memberi fokus kepada empat bahagian iaitu ‘Smart Governance’, ‘Smart Transport and Mobility’ dan ‘Smart Waste Management’.

“Malah, ia mengesahkan komitmen dan sokongan Worldwide dalam usaha meningkatkan dan membuat penambahbaikan setiap urusan dengan semua pihak terlibat,” katanya.

Categories
SELANGOR

E-World mudah proses dokumentasi kutipan sampah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 29 OGOS: Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) memperkenalkan sistem E-World untuk mempermudahkan urusan rekod, rujukan dan dokumentasi pengurusan sisa pepejal yang dilupuskan di bawah seliaan syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, inisiatif itu akan diaplikasikan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mengurus kutipan sisa pepejal seluruh negeri.

“Sistem E -World merupakan langkah strategik Worldwide Holdings dalam mempertingkatkan kecekapan pengendalian urusan pendaftaran di tapak pelupusan.

IMG_20170828_105837“Penggunaan data-data berkaitan akan disalurkan secara automatik ke sistem ini bertujuan meningkatkan kelancaran rekod pengurusan dan pemantauan kenderaan atau lori sampah yang masuk ke tapak pelupusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penyelenggaraan Pasca Penutupan Tiga Tapak Pelupusan Sanitari dan Pelancaran Sistem E-World, di Worldwide Landfills Park Air Hitam, Puchong semalam.

Norazlina berkata, pembaikan inisiatif berkenaan membuktikan komitmen agensi itu meningkatkan dan menambahbaik pengurusan sisa pepejal, terutama dalam urusan dengan PBT dan pihak berkaitan.

“Aplikasi ini juga sekali gus mendukung hasrat Kerajaan Negeri membangunkan Smart Selangor dengan mengaplikasikan penggunaan teknologi pintar untuk mengurus perkhidmatan.

“Berpandukan kepada kepakaran yang ada, Worldwide Holdings akan terus memberikan komitmen dalam memastikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dilaksanakan dengan jaya, efektif dan berkesan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Worldwide Holdings-UPEN meterai perjanjian pasca penutupan 3 tapak lupus sanitari

OLEH ERMIZI MUHMAD

PUCHONG, 28 OGOS: Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) memperbaharui Perjanjian Pasca Penutupan Tiga (3) Tapak Perlupusan Sanitari bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) di Worldwide Landfills Park, Air Hitam.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pemeteraian perjanjian itu dilaksanakan untuk tempoh penggal kedua pengambilalihan pengurusan tapak pembersihan sisa pepejal negeri sejak diuruskan Worldwide Holdings bermula 1995.

Beliau berkata, ia sekali gus menyaksikan Worldwide Holdings bertangungjawab sepenuhnya menguruskan fasiliti pembersihan pengumpulan sisa pepejal di tapak lokasi yang kini sudah dibangunkan sebagai kawasan riadah komuniti.

IMG_20170828_110028“Kerajaan Negeri yakin, pengalaman dan kejayaan hampir dua dekad Worldwide Holdings sebagai perintis dan penggiat utama sektor pengurusan alam sekitar di Malaysia mampu meneroka dan melaksanakan sistem pengurusan sisa pepejal di Selangor secara profesional dan efektif.

“Kerajaan Negeri juga berbangga dengan kejayaan Worldwide Holdings menukar guna Tapak Pelupusan Air Hitam Puchong ini kepada taman rekreasi dan riadah yang dinamakan Worldwide Landfills Park.

“Ini adalah bukti Selangor mampu melaksanakan sistem pelupusan sampah moden dan efektif serta tuntas memelihara persekitaran alam sekitar dengan baik,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penyelenggaraan Pasca Penutupan 3 Tapak Perlupusan Sanitari, di sini pagi ini.

Worldwide Holdings diwakili Pengerusi, Dato’ Noordin Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Paduka Norazlina Zakaria.

Majlis pemeteraian turut disaksikan Exco Kerajaan Negeri, Ean Yong Hian Wah, Zaidy Abdul Talib, Dato’ Dr Ahmad Yunos Hairi dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangungan) Dato’ Nor Azmie Diron.

IMG_20170828_105932Sebelum ini, tapak Landfills Air Hitam Puchong dikenali sebagai kawasan perlupusan sampah oleh Kerajaan Negeri sejak 1995 menggantikan tapak perlupusan di Kelana Jaya yang berdekatan dengan Lapangan Terbang Subang, sebelum ini.

Tapak sedia ada itu dipindahkan atas faktor pencemaran bau yang memerlukan lokasi kawasan pemindahan baru diperlukan demi kesejahteraan komuniti bandar.

Difahamkan, tapak itu sebelum ini menerima lebih 3,500 tan sampah setiap hari hasil kutipan melibatkan beberapa kawasan pihak berkuasa tempatan sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur.

Categories
SELANGOR

Selangor sedia teroka kaedah baru urus sisa pepejal

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUCHONG, 28 OGOS : Kerajaan Negeri optimis untuk meneroka kaedah baru berteknologi tinggi dan selamat bagi mengawal selia pengurusan sisa pepejal negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Selangor perlu mencontohi pendekatan negara luar seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Australia dengan memperkenalkan kaedah moden pengurusan sampah bersistematik.

IMG_20170828_105738“Antara kaedah yang boleh dilaksanakan seperti kaedah ‘waste to energy’, ‘energy from waste’ atau ‘zero waste’ untuk memenuhi keperluan semasa.

“Melalui kaedah ini, kita dapat menjana tenaga baru daripada sisa buangan dan mengurangkan penggunaan tapak pelupusan sampah sekali gus mengelakkan berlakunya pencemaran terhadap alam sekitar,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penyelenggaraan Pasca Penutupan 3 Tapak Perlupusan Sanitari, di sini pagi ini.

Ia melibatkan lanjutan kerjasama Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) menjalinkan rangka kerjasama untuk tempoh lima tahun.

Majlis pemeteraian perjanjian turut menyaksikan Worldwide Holdings memperkenalkan sistem E-World sebagai kaedah pengurusan kutipan sampah pepejal.

Inisaitif itu diperkenalkan kepada seluruh pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)) untuk mengawal selia pengurusan kutipan sampah di kawasan lokaliti pentadbiran tempatan.

Menyokong kepada pelaksanaan sistem itu, Mohamed Azmin berkata ia berupaya mendukung agenda Smart State menerusi penggunaan aplikasi pintar.

“Sistem ini adalah seiring dengan matlamat dan agenda Kerajaan Negeri ke arah merealisasikan gagasan Smart Selangor yang peduli.

“Saya yakin dan percaya, dengan aplikasi seperti ini, kita akan berjaya menghasilkan sistem pengurusan pelupusan yang efektif dan menjimatkan masa,” katanya.