Categories
SELANGOR

IDE: BN bakal hilang Putrajaya dan 8 negeri pada PRU-14

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 OGOS: Kaji selidik dijalankan Institut Darul Ehsan (IDE) ‘Survei Malaysia 2017, #MoodRakyat – Kajian Trend Masyarakat Malaysia Dalam Isu Semasa’ mendapati Barisan Nasional (BN) bakal tewas di peringkat Persekutuan dan kehilangan lapan negeri sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diadakan dalam tempoh enam bulan daripada sekarang.

Kajian melibatkan 4,486 responden daripada 12,082,403 pengundi seluruh Malaysia itu menunjukkan BN hanya memperolehi 39 peratus undi popular berbanding gabungan Pakatan Harapan (Pakatan) dan PAS yang memperolehi 59 peratus.

Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Profesof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, bagaimanapun berkata, senario itu hanya berlaku sekiranya Pakatan dan PAS bekerjasama mewujudkan pertembungan satu lawan satu menentang BN di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Apa yang nak saya tonjolkan berdasarkan survei kita adalah apa akan berlaku sekiranya gabungan pakatan pembangkang kekal. Rakyat dibahagi dua, satu pakatan pembangkang dan satu lagi BN dan ini hasilnya Pakatan campur PAS, tak kiralah apapun namanya, mendapat 59 peratus undi termasuk lapan negeri jatuh ke tangan pembangkang,” katanya.

Mohammad Redzuan berkata demikian pada sidang media Survei Malaysia 2017, #MoodRakyat – Kajian Trend Masyarakat Malaysia Dalam Isu Semasa di Auditorium IDE, Bangunan IDE di sini, semalam.

Jelasnya, negeri yang akan kekal atau jatuh ke tangan pembangkang adalah Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Melaka, Kelantan dan Wilayah Persekutuan.

Katanya, sokongan 59 peratus itu merupakan satu kedudukan yang kukuh bagi menjamin kemenangan pembangkang di peringkat Persekutuan pada PRU-14 nanti.

Katanya lagi, kajian terbaru ini juga mendedahkan sokongan diperolehi BN sebanyak 46 peratus pada PRU-13 merosot tujuh peratus kepada 39 peratus ketika kajian ini dijalankan.

Kata beliau, sokongan terhadap pembangkang pula melonjak lima peratus daripada 54 peratus pada PRU-13 kepada 59 peratus dalam tempoh sama.

=EZY=