Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kesal, namun sedia beri kerjasama

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 22 OGOS: Kerajaan Negeri sedia memberikan kerjasama berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), walaupun kesal dengan serbuan suruhanjaya itu di Universiti Selangor (UNISEL) dan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), pada 22 Ogos lalu.

Pengarah Komunikasi Strategik, Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong berkata, ia secara terangan menunjukkan tindakan terancang bertujuan menjejaskan imej Kerajaan Negeri yang tuntas berpegang kepada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Katanya, Kerajaan Negeri juga sentiasa tegas mempertahankan prinsip ketelusan dan integriti dalam urus tadbir termasuk anak syarikatnya.

“Walaupun Kerajaan Negeri mengalukan siasatan SPRM berhubung laporan dibuat terhadap Kerajaan Negeri, suruhanjaya itu dituntut menyiasat secara profesional dan tidak dipengaruhi tekanan politik.

“Tekanan politik terhadap SPRM hanya menyebabkan persepsi dan keyakinan rakyat terhadap institusi pencegahan rasuah ini terhakis juga tercalar,” katanya dalam kenyataan.

Shao Loong berkata, tindakan Kerajaan Negeri berhubung perkara berkenaan juga berdasarkan keputusan mahkamah dengan pihak berkenaan bersetuju untuk penyelesaian luar mahkamah.

“Penyelesaian dimuktamadkan antara UNISEL dan Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) berdasarkan urus tadbir baik dan langsung tidak membabitkan Dato’ Menteri Besar secara peribadi atau atas kapasiti individu yang membuat keputusan penyelesaian pertikaian berkenaan,” katanya.

Terdahulu, SPRM menyerbu pejabat MBI, UNISEL dan JNSB dipercayai berkait rapat dengan salah guna kuasa dalam isu pertikaian kontrak di antara UNISEL dengan JNSB.

Difahamkan, SPRM turut membuat serbuan di pejabat JNSB di Desa Pandan dan kampus induk UNISEL di Bestari Jaya.