Categories
PBT SELANGOR

Ubah suai kediaman tanpa kebenaran kena tindakan tegas

OLEH: SYASYA SUFIAN

SUBANG JAYA, 22 OGOS: Pemilik premis yang mengubahsuai rumah secara haram untuk dijadikan hostel mahupun menyewa boleh dikenakan tindakan notis oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Pemangku Yang Dipertua MPSJ, Zulkarnain Che Ali berkata, tindakan ke atas pemilik premis itu boleh diambil mengikut Seksyen 70 Akta 133 (12) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, jika mereka melakukan pengubahsuaian tanpa kebenaran MPSJ dan menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk sekitar.

“Bagi kesalahan pengubahsuaian denda maksimum RM12,500 boleh dikenakan kepada pemilik premis kesalahan mengubahsuai tidak mengikut garis panduan kami.

“Mereka boleh ubah suai rumah tetapi mengikut garis panduan ditetapkan iaitu maksimum sebanyak lapan buah bilik bagi rumah teres dua tingkat bergantung kepada keluasan rumah atau premis tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Penuh MPSJ, pagi tadi.

Zulkarnain berkata, tujuan pemilik rumah mengubahsuai rumah tersebut adalah bertujuan untuk disewakan.

Namun katanya, yang menjadi kesalahan adalah setiap rumah diduduki lebih 10 orang sehingga mencecah 15 orang penghuni bagi setiap rumah.

“Kesalahan ini rumah sesak ini membolehkan pemilik dikenakan kompaun sebanyak RM500.

“Tindakan tegas boleh diambil ke atas pemilik kerana jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini seperti kebakaran, pemilik premis boleh dipersalahkan dan berkemungkinan insuran tidak boleh dituntut akibat pengubahsuaian secara haram,” katanya.

=EZY=