Categories
EKONOMI SELANGOR

Lagi usahawan dibantu menerusi HIJRAH

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 26 OGOS: Seramai 412 orang menerima baucer Skim Pinjaman Hijrah (HIJRAH) yang bernilai RM3.5 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri di Karnival Hari Terbuka Universiti Selangor (UNISEL) 2.0, hari ini.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, Kerajaan Negeri meletakkan matlamat melalui HIJRAH menjadikan Selangor mencapai tahap miskin sifar selaras strategi pembangunan negeri.

“Tujuan skim ini adalah untuk memastikan usahawan dan peniaga kecil dapat berniaga dengan baik melalui pemberian pinjaman daripada RM3,000 hingga RM50,000

“Selain itu, secara tidak langsung dapat mempertingkatkan taraf ekonomi usahawan kecil agar boleh terus maju dari satu tapak ke satu tapak yang lebih baik,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Baucer HIJRAH di Kampus UNISEL Shah Alam, pagi tadi.

Dr Daroyah berkata, di Selangor ramai usahawan yang mengeluarkan produk tersendiri yang dilihat mampu diketengahkan hingga ke peringkat antarabangsa.

“Melihat pada potensi pada usahawan ini, kita melaksanakan program 4P (Peningkatan, Pengupayaan, dan Pembungkusan Produk) untuk membantu produk tersebut mempunyai penghasilan yang baik agar dapat dipasar dan diketengahkan.

“Ada diantara produk yang telah kita bantu hingga dapat dipasarkan keluar negara.

“Melalui hijrah inilah usahawan kecil mampu tingkatkan keupayaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi dan lebih meluas,” katanya.

Selain itu, katanya Program HIJRAH adalah salah satu inisiatif mengelakkan berlakunya pinjaman daripada lintah darat atau ‘along’.

=EZY=