Categories
SELANGOR

MB: Banyak lagi tindakan terhadap Kerajaan Negeri sebelum PRU14

OLEH HAFIZAN TAIB

SEPANG, 26 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, banyak lagi tindakan dilakukan pihak berkuasa di bawah Kerajaan Persekutuan terhadap Kerajaan Negeri menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 ini.

Beliau berkata, ia bagi memberi persepsi negatif terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri diketuainya yang banyak mencatat pencapaian cemerlang pelbagai bidang termasuk ekonomi.

“Tindakan sebegini akan berterusan sehingga ke PRU ke 14 nanti.

“Memang kita menjangkakan banyak pihak yang cemburu dengan kejayaan demi kejayaan dicatat Selangor,” katanya kepada media berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan Universiti Selangor (UNISEL).

Mohamed Azmin berkata demikian sekembalinya beliau dan rombongan daripada lawatan kerja ke Zurich, Switzerland di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, hari ini.

BANGUNAN SUKBagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri bersedia memberi kerjasama kepada SPRM dalam siasatan berkenaan namun agensi itu disaran menjalankan siasatan secara adil dan profesional bagi mengelak prasangka negatif masyarakat terhadap agensi berkenaan.

“Kita menuntut SPRM bertindak secara profesional kerana sekiranya tidak, ia menimbulkan persepsi tidak baik dalam masyarakat kerana gagal untuk kembalikan keyakinan terhadap institusi itu untuk membanteras rasuah.

“Saya gembira beberapa pegawai tertinggi MBI dan UNISEL telah memberi kerjasama baik dalam siasatan maka Kerajaan Negeri akan memberi kerjasama penuh dalam perkara ini,” katanya.

=EZY=