Categories
NASIONAL

Mahkamah tolak permohonan tahanan reman hospital Isa Samad

PUTRAJAYA, 17 OGOS: Permohonan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad menjalani perintah tahanan reman di hospital ditolak Mahkamah Majistret Putrajaya.

Peguam Isa, Datuk K Kumaraendran ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, sebaliknya anak guamnya itu diperintah menjalani tempoh reman, di lokap ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pada prosiding, pihak kami (pembelaan) mengemukakan permohonan itu kepada mahkamah kerana beliau adalah seorang penghidap penyakit jantung yang memerlukan rawatan,” katanya lapor Sinar Harian.

Katanya, SPRM perlu memastikan Isa berada dalam keadaan selesa sepanjang tahanan itu dan pihaknya berharap suruhanjaya itu tidak membuat permohonan lanjutan reman.

ISA SAMADTerdahulu, Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya, Datuk Zainal Abidin Kamarudin membenarkan permohonan tahanan reman SPRM terhadap Isa selama lima hari, bermula semalam.

SPRM diwakili Timbalan Pengarah II Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman.

Penahanan itu dilakukan bagi melengkapkan siasatan penyalahgunaan kuasa dalam pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di London antara 2014 dan 2015.

Siasatan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu tiba di mahkamah jam 9.05 pagi diiringi beberapa pegawai SPRM dan polis.

Isa ditahan pada jam 2.45 petang kelmarin (15 Ogos) sejurus hadir ke Ibu Pejabat SPRM, di sini, untuk memberi keterangan lanjut berkaitan kes berkenaan.

SPRM membuka kertas siasatan berhubung pembelian sebuah hotel di Kensington, London oleh Felda Investment Corporation (FIC) selepas dipercayai harga yang dibayar jauh lebih tinggi berbanding harga asal hingga menyebabkan anak syarikat Felda itu mengalami kerugian jutaan ringgit.

FIC dilaporkan membayar £60 juta (RM330 juta) untuk sebuah hotel empat bintang, Park City Hotel, Kensington, London, pada 16 Disember 2014.