Categories
EKONOMI NASIONAL

Media Prima catat kerugian sebelum cukai RM135.6 juta

KUALA LUMPUR 15 OGOS: Media Prima Bhd mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM135.6 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2017 berbanding keuntungan sebelum cukai berjumlah RM29.84 juta pada tempoh sama, tahun lepas.

Perolehannya turut merosot kepada RM328.77 juta daripada RM349.55 juta sebelum ini berikutan perubahan tingkah laku pengguna dan inovasi digital yang menjejaskan industri media secara menyeluruh.

“Walaupun kumpulan ini telah menceburi inisiatif perniagaan berasaskan pengguna dan digital baharu, ia masih lagi dalam peringkat awal,” kata kumpulan media bersepadu itu kepada Bursa Malaysia dalam satu makluman, lapor BERNAMA.

Mengulas prospeknya, Media Prima berkata ia komited kepada usaha transformasi bagi mempertahankan sumber pendapatan tradisionalnya dan membangunkan sumber baharu termasuk beberapa bidang utama seperti peneraju pasaran dalam penyiaran, kandungan (penyiaran) ‘over-the-top’ dan penerbitan digital.Media Prima1

“Kumpulan ini turut menumpukan usaha meningkatkan perolehan dagangan menerusi penyepaduan media dan mengembangkannya ke luar Malaysia.

“Pengurusan kos secara berterusan dengan memaksimumkan rantaian nilai sedia ada dan usaha meningkatkan produktiviti serta kecekapan, terus kekal menjadi keutamaan.

“Ini seiring amalan kewangan dan pengurusan risiko secara berhemat,” katanya.

=EZY=