Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KPM perlu jelaskan serahan kontrak TV Pendidikan kepada Media Prima

SHAH ALAM, 24 MEI: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta menjelaskan isu penyerahan kontrak TV Pendidikan kepada syarikat swasta Media Prima Berhad (Media Prima) menerusi DidikTV sejak Februari lalu.

Pakatan Harapan (PAKATAN) berkata penyiaran itu sebaiknya diberi kepada penyiar rasmi negara, Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) kerana tidak melibatkan kos serta memiliki fasiliti lengkap.

“Apakah rasional dan keuntungan diterima rakyat dalam tindakan KPM membuat bayaran kepada Media Prima sedangkan boleh menggunakan stesen TV kerajaan ketika darurat ini.

“Kerajaan juga perlu jelaskan nilai kontrak memandangkan terdapat laporan kos berjumlah RM70 juta diperuntuk sepanjang tahun ini,” katanya menerusi kenyataan Jawatan Kuasa Pendidikan PAKATAN semalam.

Jawatan kuasa dipengerusikan mantan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata kerajaan juga perlu memberi penerangan terperinci berhubung kontrak yang masih belum ditandatangani antara KPM dan DidikTV itu.

“Hala tuju TV Pendidikan berserta platform Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (DELIMa) dan EduwebTV yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 perlu dijelaskan.

“Bilangan penonton DidikTV sehingga kini dan berbaloikah dengan kos dilaburkan harus diberitahu. Diharapkan menteri serta timbalannya tidak memperjudikan pendidikan negara dan masa depan anak bangsa,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kakitangan NSTP balik dari Sabah positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Media Prima Berhad (Media Prima) hari ini mengesahkan seorang kakitangan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) didiagnosis dengan Covid-19 selepas pulang daripada membuat liputan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah.

Media Prima dalam kenyataan memaklumkan kakitangan itu kini berada di bawah jagaan hospital kerajaan.

“Kakitangan berkenaan kembali daripada tugas editorial di Sabah pada 30 Sept lepas dan melakukan ujian wajib Covid-19 yang dikendalikan Kementerian Kesihatan (KKM). Kakitangan yang terlibat itu telah menjalani kuarantin kendiri di rumah sejak pulang, sebelum dilaporkan sebagai kes positif,” menurut kenyataan itu.

Media Prima kini bekerjasama rapat dengan KKM dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk meminimumkan potensi pendedahan kepada pekerja lain.

Kenyataan itu menambah, kakitangan yang dijangkiti itu tidak mengunjungi mana-mana premis Media Prima sejak pulang dari Sabah.

“Media Prima akan memberikan sokongan yang diperlukan kepada kakitangan terlibat. Kami mendoakan kakitangan itu cepat sembuh,” menurut kenyataan itu.

Media Prima menekankan kumpulan itu mementingkan keselamatan kakitangannya, dan mereka yang pulang daripada tugas di Sabah melakukan ujian Covid-19 dan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari di rumah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Media Prima tamatkan perkhidmatan 300 pekerja

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Media Prima Bhd (Media Prima), kumpulan media bersepadu utama Malaysia, mengeluarkan notis pemberhentian kerja kepada kira-kira 300 orang pekerja, dengan tarikh akhir pekerjaan pada 31 Julai ini.

Dalam satu kenyataan semalam, Media Prima memaklumkan kumpulan dan wakil-wakil daripada lima kesatuan sekerja mencapai persetujuan dalam perbincangan berkenaan pelaksanaan fasa seterusnya transformasi perniagaan kumpulan seperti yang telah diumumkan pada 4 Jun lepas.

“Perbincangan tersebut bertujuan memastikan proses adalah telus dan semua obligasi kepada kakitangan yang terjejas diberi keutamaan.

“Semua pihak memahami keperluan transformasi perniagaan dan juga bersetuju dengan mekanisme pampasan yang adil serta saksama kepada para kakitangan yang terjejas seperti termaktub dalam undang-undang, perjanjian-perjanjian bersama kesatuan sekerja masing-masing dan kontrak pekerjaan,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Media Prima mengumumkan bahawa ia akan melaksanakan fasa transformasi perniagaan yang seterusnya berikutan perubahan yang mengganggu dalam sektor media dan keadaan ekonomi makro yang mencabar, dijejaskan lagi oleh faktor pemboleh ubah yang tidak diketahui akibat pandemik Covid-19.

“Faktor-faktor ini memaksa kumpulan untuk mempercepat pelaksanaan fasa berikutnya dalam proses transformasinya. Ia merangkumi semakan semula model pendapatan dan pengurusan kos yang bersesuaian.

“Inisiatif ini melibatkan perubahan operasi di unit terpilih untuk mengatasi ketakcekapan kos yang timbul dari pertindihan kerja. Transformasi perniagaan ini bertujuan menjadikan Kumpulan sebagai model perniagaan yang mantap dan mampan untuk jangka masa sederhana dan jangka masa panjang,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Media Prima catat kerugian sebelum cukai RM135.6 juta

KUALA LUMPUR 15 OGOS: Media Prima Bhd mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM135.6 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2017 berbanding keuntungan sebelum cukai berjumlah RM29.84 juta pada tempoh sama, tahun lepas.

Perolehannya turut merosot kepada RM328.77 juta daripada RM349.55 juta sebelum ini berikutan perubahan tingkah laku pengguna dan inovasi digital yang menjejaskan industri media secara menyeluruh.

“Walaupun kumpulan ini telah menceburi inisiatif perniagaan berasaskan pengguna dan digital baharu, ia masih lagi dalam peringkat awal,” kata kumpulan media bersepadu itu kepada Bursa Malaysia dalam satu makluman, lapor BERNAMA.

Mengulas prospeknya, Media Prima berkata ia komited kepada usaha transformasi bagi mempertahankan sumber pendapatan tradisionalnya dan membangunkan sumber baharu termasuk beberapa bidang utama seperti peneraju pasaran dalam penyiaran, kandungan (penyiaran) ‘over-the-top’ dan penerbitan digital.Media Prima1

“Kumpulan ini turut menumpukan usaha meningkatkan perolehan dagangan menerusi penyepaduan media dan mengembangkannya ke luar Malaysia.

“Pengurusan kos secara berterusan dengan memaksimumkan rantaian nilai sedia ada dan usaha meningkatkan produktiviti serta kecekapan, terus kekal menjadi keutamaan.

“Ini seiring amalan kewangan dan pengurusan risiko secara berhemat,” katanya.

=EZY=