Categories
AGENDA GLOBAL

Mercy Malaysia salur bekalan makanan, ubat kepada Gaza

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Mercy Malaysia telah menyalurkan bantuan kecemasan dan perubatan fasa pertama bernilai RM500,000 kepada penduduk Palestin selepas serangan awal rejim Zionis Israel di Masjid al-Aqsa pada awal bulan ini.

Presiden Mercy Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata antara bantuan kecemasan yang dihantar menerusi fasa pertama ialah ubatan-ubatan serta alat kesihatan dan pembedahan (termasuk rawatan rapi).

“Bantuan itu disalurkan kepada Kementerian Kesihatan Palestin yang akan mengagihkannya kepada 33 hospital di Gaza yang terjejas,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Mercy Malaysia juga sudah mula mengagihkan bantuan makanan dan perkakasan isi rumah kepada 100 keluarga (daripada 1,200 keluarga) selain peralatan dapur, bantal, selimut dan mesin basuh kepada 50 keluarga lain. Penerima manfaat adalah antara 72,000 keluarga yang terkesan akibat serangan rejim Israel.

Bantuan lain yang sedang dijalankan melalui fasa pertama bantuan ke Palestin ialah menyediakan tempat tinggal sementara di Gaza dan Timur Baitulmaqdis, meneruskan program bekalan air bersih serta program bantuan psikososial khususnya kepada mangsa trauma.

Katanya penghantaran kedua bantuan pula masih dalam perjalanan kerana sekatan di sempadan Rafah (pintu masuk Gaza).

Mercy Malaysia telah menghulurkan bantuan di bumi Palestin sejak Perang Gaza (2008-2009) hingga kini, dalam situasi perang dan bukan perang.

Dr Ahmad Faizal berkata Mercy Malaysia menyifatkan gencatan senjata di Gaza yang dicapai antara beberapa pihak di Palestin dan Israel hari ini sebagai perkembangan positif yang akan membuka laluan bagi bantuan kemanusiaan ke wilayah konflik itu.

Beliau berkata gencatan senjata itu akan meredakan ketegangan di rantau Asia Barat serta mengelakkan lebih ramai orang awam terkorban di wilayah konflik terbabit.

Kabinet Keselamatan Israel pada Khamis bersetuju menghentikan serangan di Semenanjung Gaza yang dikepung dan menerima perjanjian gencatan senjata dengan Hamas.

Gencatan senjata itu berkuat kuasa pada 2 pagi Jumaat (2300GMT Khamis) dan dipersetujui selepas 11 hari Israel melancarkan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza yang dikepung. Mesir bertindak sebagai perantara.

Sejak 10 Mei lepas, seramai 232 rakyat Palestin termasuk 65 kanak-kanak dan 39 wanita terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Sukarelawan Mercy bantu bersih pantai Jeram

KUALA SELANGOR, 21 DIS: Kira-kira 100 sukarelawan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) memberikan komitmen membantu kerja-kerja pembersihan pantai di sekitar kawasan Jeram di sini, hari ini.

Naib Presiden III Mercy Malaysia, Prof Dr Shalimar Abdullah berkata, program itu bertujuan untuk menjaga kebersihan pantai di samping menyumbang kepada keseimbangan ekosistem kawasan sekitarnya.

“Program ini turut dilaksanakan bersempena Hari Sukarelawan Antarabangsa yang diraikan pada bulan Disember setiap tahun.

“Menerusi program ini, kami mengutip sampah, sisa-sisa makanan dan minuman serta barangan terbuang sepanjang 1.2 kilometer di kawasan pesisir pantai ini,” katanya selepas program tersebut hari ini.

Beliau berkata, menerusi program itu ia secara tidak langsung akan meningkat kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga hidupan laut sekali gus mendidik amalan positif untuk menambah baik kualiti hidup mereka.

Katanya, pelawat atau pelancong yang datang ke kawasan pantai itu juga diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya membuang sampah tanpa adanya rasa tanggungjawab dan keprihatinan terhadap kepentingan memulihara alam sekitar.

“Kami harap aktiviti ini dapat memberi inspirasi kepada semua pihak untuk memainkan peranan masing-masing dalam memulihara alam sekitar agar sihat dan bersih.

“Kita harus mengekalkan keindahan pantai selain memastikan hidupan marin bebas daripada kekotoran serta pencemaran kerana hidupan marin ini juga sumber makanan kita,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MB ucap tahniah kepada Dr Jemilah

SHAH ALAM, 4 NOV: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan ucapan tahniah kepada pengasas Mercy Malaysia, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood yang dipilih sebagai pemenang Hadiah Asean 2019.

Beliau berkata pengiktirafan itu bertepatan dengan usaha keras Jemilah dalam membantu orang ramai ketika menghadapi konflik global.

“Tahniah kepada Dr Jemilah atas pengiktirafan dan penerimaan anugerah ini.

“Pengiktirafan ini sesuai dengan usaha kerasnya dalam membantu pelbagai golongan ketika konflik global berlaku,” katanya menerusi ciapan Twitternya.

Pengasas Mercy Malaysia Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dipilih sebagai pemenang Hadiah Asean 2019 sebagai mengiktiraf peranan utamanya dalam pelbagai misi kemanusiaan dan pengurusan bencana di rantau ini.

Beliau adalah rakyat Malaysia pertama menerima anugerah itu, yang diperkenalkan di Singapura tahun lalu.

Dr Jemilah, 60, menerima trofi dan hadiah wang tunai US$20,000 (RM83,100) daripada Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan o-cha dan Setiausaha Agung Asean Datuk Lim Jock Hoi pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Asean ke-35 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, di sini hari ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin negara anggota Asean yang lain menyaksikan majlis penyampaian anugerah itu.

Dr Jemilah adalah anggota pasukan kepimpinan kanan di Persekutuan Antarabangsa Bulan Sabit Merah, mewakili kepentingan dan Setiausaha Agung pertubuhan itu apabila diperlukan.

Hadiah Asean merupakan anugerah berprestij bertujuan mengiktiraf pencapaian cemerlang dan mencetuskan inspirasi oleh seseorang individu atau pertubuhan dalam memupuk identiti Asean, mempromosi semangat Asean serta memperjuangkan hala tuju Asean.

Categories
NASIONAL

MERCY Malaysia hantar bantuan banjir ke Bangladesh

KUALA LUMPUR 26 OGOS: Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) menghantar pasukan ke Bangladesh ketika negara itu bergelut dalam menghadapi banjir paling buruk dalam masa beberapa tahun.

MERCY Malaysia dalam kenyataan media berkata ia menghantar pasukan penilaian pantas terdiri daripada seorang kakitangan MERCY Malaysia, seorang sukarelawan perubatan dan seorang sukarelawan lojistik.

Ia untuk membuat penilaian mengenai keperluan di kawasan bencana dan bersiap siaga bagi penilaian lanjut untuk fasa pemulihan dan intervensi selama dua minggu bermula 25 Ogos hingga 7 September.

Menurut kenyataan, banjir besar yang teruk akibat hujan monsun melanda daerah-daerah di utara Benggala Barat, Bangladesh dengan lebih 100 mangsa dilaporkan maut dan lima juta penduduk terjejas.

MERCY_Malaysia_logo2“Sebanyak 531,517 rumah di 24 daerah mengalami kerosakan, menyebabkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal mencari penempatan sementara untuk berlindung.

“Banjir yang melanda satu pertiga daripada daerah di negara itu telah menyebabkan peningkatan paras air yang ketara dan pencemaran air.

“Situasi ini menyebabkan penularan penyakit-penyakit bawaan air dan tiada akses kepada kebersihan dan sanitasi serta akses kepada air bersih kerana kebanyakan telaga tiub ditenggelami air banjir.

Ini mendedahkan penduduk yang terjejas kepada pelbagai penyakit bawaan air seperti cirit-birit, jangkitan sistem pernafasan, penyakit kulit, demam kepialu, jangkitan mata, demam kuning, demam dan sakit kepala,” kata kenyataan itu.

MERCY Malaysia amat prihatin terhadap situasi penyakit bawaan air yang bertambah meruncing semasa pasca banjir, kata kenyataan itu.

Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Perdaus berkata MERCY Malaysia amat mengambil berat terhadap keselamatan orang awam yang terjejas akibat banjir buruk yang melanda Bangladesh.

MERCY Malaysia menyeru orang ramai untuk menyumbang kepada Tabung Bantuan Bangladesh dengan menderma melalui laman web di www.mercy.org.my atau menghubungi MERCY Malaysia melalui telefon 03-21422007.

=EZY=