Categories
NASIONAL

Najib gagal faham agenda reformasi – Izzah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 18 OGOS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disaran mengkaji istilah Reformasi sebelum membuat sebarang kenyataan dangkal berhubung pelaksanaan agenda itu.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, agenda Reformasi kekal dipertahankan di bawah gabungan Pakatan demi kelangsungan kebajikan rakyat Malaysia.

“Kami tidak memulakan agenda Reformasi itu dengan merujuk khusus kepada Dr Mahathir kerana ia bersifat jelas sebagai institut pembentukan pemerintahan negara yang lebih baik.

REFORMASI“Justeru, Perdana Menteri perlulah membuat sedikit kajian berhubung (pelaksanaan) agenda itu sebelum membuat sebarang kenyataan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN.

Nurul Izzah berkata, agenda Reformasi berperanan sebagai institusi perubahan yang memberi tumpuan kepada pelaksanaan sistem yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat Malaysia.

Beliau berkata, pelaksanaan agenda berkenaan juga mampu membawa perubahan kepada pengukuhan pembinaan negara yang lebih maju.

Sebelumnya, Nurul Izzah diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Razak pada lawatan Perdana Menteri itu di Permatang Pauh yang meminta rakyat di kawasan itu tidak lagi menyokong agenda berkenaan.

Najib dilaporkan berkata, Reformasi disifatkan ‘mati’ lantas memerlukan pusingan u-turn warga Permatang Pauh untuk tidak lagi menyokong agenda itu.

Reformasi sinonim sebagai simbol perjuangan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Untuk rekod, Permatang Pauh merupakan kawasan kubu kuat KEADILAN selepas penyingkiran Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, pada 1998.